Budak lelaki 6 tahun dibunuh dengan kejam di Madinah
Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dibunuh oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat sebuah kedai kopi di kawasan kejiranan Al-Tilal di Madinah. Malah pembunuhan tersebut dilakukan di hadapan ibu kanak-kanak tersebut.
Gambar hiasan. (Gambar: Reuters)
MADINAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dibunuh oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat sebuah kedai kopi di kawasan kejiranan Al-Tilal di Madinah. Malah, pembunuhan tersebut dilakukan di hadapan ibu kanak-kanak tersebut.
Laman Saudi Gazette melaporkan bahawa lelaki itu tidak ada sebarang hubungan dengan mangsa atau keluarganya.
Menurut sumber-sumber, jenayah yang berlaku pada sebelah petang Rabu (30 Jan) tidak dirancang terlebih dahulu. Suspek juga didapati tiada motif ketara untuk melakukan jenayah tersebut.
Saudi Gazette menukil seorang sumber sebagai berkata penyerang berusia 35 tahun itu sedang duduk di kedai kopi berkenaan dan kemudian keluar dari kedai itu apabila ternampak kanak-kanak lekaki tersebut berjalan di hadapannya, dengan ditemani oleh ibunya.
Sumber-sumber itu menyatakan bahawa penyerang berkenaan dengan pantas menarik kanak-kanak lelaki itu dari pegangan ibunya, sebelum memecahkan sebuah botol yang dijumpai berhampiran kedai kopi itu dan menikam mangsa.
Kanak-kanak lelaki itu baru sahaja membuat pesanan makanan di sebuah restoran berdekatan dan sedang dalam perjalanan untuk mengambil makanannya apabila lelaki itu ternampak beliau, lapor Saudi Gazette.
Menurut sumber-sumber, ibu mangsa cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan anak lelakinya sambil menjerit meminta bantuan daripada para pejalan kaki.
Seorang pegawai polis yang berada di tempat kejadian cuba untuk menyelamatkan mangsa daripada genggaman penyerang, namun tidak berjaya. Beliau bagaimanapun dapat menguasai penyerang itu, sebelum lebih ramai pegawai tiba di tempat kejadian.
Saudi Gazette menukil sumber-sumber sebagai menyatakan ibu mangsa merupakan seorang pesakit jantung yang bekerja di Jeddah. Beliau berada dalam keadaan terkejut menyusuli serangan itu dan dikejarkan ke hospital.
Polis Madinah sudahpun melancarkan siasatan terhadap insiden berkenaan, yang disifatkan sebagai satu kejutan buat kota suci itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.