Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Budak lelaki 3 tahun maut selepas lebih 4 jam tertinggal di dalam kereta

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun 11 bulan meninggal dunia selepas ditemui tertinggal di dalam kereta lebih empat jam di hadapan sebuah tadika di Taman Ria pada Selasa (17 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Budak lelaki 3 tahun maut selepas lebih 4 jam tertinggal di dalam kereta

Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 17 Mar 2021 01:55PM Dikemas Kini : 17 Mar 2021 01:57PM

SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun 11 bulan meninggal dunia selepas ditemui tertinggal di dalam kereta lebih empat jam di hadapan sebuah tadika di Taman Ria pada Selasa (17 Mac).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta jenis Proton Waja milik pengetua tadika terbabit pada pukul 12.15 tengah hari.

Beliau berkata sebelum itu, mangsa yang tinggal berhampiran tadika tersebut telah dijemput pengetua wanita terbabit kira-kira pukul 7.45 pagi dan mangsa ketika itu dalam keadaan sihat duduk di tempat duduk belakang kereta.

“Sebelum itu, pengetua terbabit juga mengambil seorang murid lain yang berusia 5 tahun dan diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan dan sampai sahaja di hadapan tadika, seorang guru ambil murid yang berada di bahagian penumpang hadapan dan terus masuk ke dalam tadika.

“Pengetua itu pula terus parkir kereta di tepi luar tadika dan mematikan enjin kereta. Ketika kejadian, mangsa masih berada di dalam kereta dengan keadaan pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan,” katanya dalam kenyataannya hari ini (17 Mac).

ACP Adzli berkata mangsa berada dalam kereta itu dari pukul 8.00 pagi dan pada pukul 12.15 tengah hari pengetua terbabit dimaklumkan oleh seorang guru bahawa mangsa tidak hadir ke tadika menyebabkan pengetua berkenaan terus menuju ke keretanya dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri.

“Pengetua itu telah menghubungi pihak ambulans dan melakukan bantuan penafasan (CPR) namun mangsa tidak sedarkan diri. Mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans dan hasil pemeriksaan doktor di bahagian kecemasan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia semasa sampai di hospital,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat hari ini dan pengetua tersebut direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan