Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Budak 9 tahun mati ditikam ketika cuba lindung ibu daripada jadi mangsa rogol

Kisah seorang kanak-kanak yang mati dibunuh ini cukup tragis. Rangga, 9 tahun, berkali-kali ditikam sampai mati ketika cuba menyelamatkan ibunya daripada menjadi mangsa rogol.

Anggaran Waktu Membaca:
Budak 9 tahun mati ditikam ketika cuba lindung ibu daripada jadi mangsa rogol

Gambar Rangga tular di media sosial dengan ramai mengucapkan kepadanya; "Selamat Jalan Pahlawan".

Diterbitkan : 18 Oct 2020 08:39PM Dikemas Kini : 18 Oct 2020 08:42PM

ACEH TIMUR: Kisah seorang kanak-kanak yang mati dibunuh ini cukup tragis. Rangga, 9 tahun, berkali-kali ditikam sampai mati ketika cuba menyelamatkan ibunya daripada menjadi mangsa rogol.

Seluruh masyarakat Aceh kini berduka atas pemergian Rangga. Kanak-kanak itu bahkan menerima julukan 'Pahlawan Cilik Aceh Timur', kerana gugur ketika cuba melindungi ibunya.

Insiden berlaku pada dinihari 10 Oktober. Pesalah - seorang lelaki berusia 36 tahun - menceroboh masuk ke dalam rumah Rangga setelah mengumpil mangga pintu rumah mangsa.

"Setelah pintu terbuka, pesalah melihat mangsa (wanita) tidur bersama anaknya. Dia mendekati mangsa dan merabanya. Ini membuat mangsa terbangun lalu melihat pesalah di sisi tanpa pakaian selain sedang memegang parang," kata seorang pegawai polis tempatan, Inspektor Arief kepada agensi berita ANTARA News.

DITIKAM DI LEHER, DADA...

Si ibu, menurut beliau, kemudian mengejutkan Rangga supaya dia dapat lari menyelamatkan diri. Sungguhpun begitu, Rangga memilih untuk menjerit meminta pertolongan sehingga pesalah panik dan menikam bahu kanan Rangga.

Pesalah ingin sekali lagi menikam Rangga tetapi dia dihalang ibu kanak-kanak tersebut. Selepas menolak wanita berkenaan, pesalah menikam leher Rangga sebelum menikam bahagian bahu kiri dan dadanya lagi.

Pesalah yang membunuh Rangga dikenali sebagai Samsul Bahri. (Petikan gambar dari video YouTube Tribunnews) 

Pesalah yang membunuh Rangga dikenali sebagai Samsul Bahri. (Petikan gambar dari video YouTube Tribunnews) 

Setelah itu, pesalah, menurut polis, masih mencuba untuk merogol ibu Rangga. Pesalah mencekik dan menghentak kepala mangsa lalu mengangkatnya ke sebuah kebun sawit berdekatan. Di situlah, wanita tersebut sekali lagi diperkosa.

Kekejaman si penjenayah tidak terhenti di situ. Dia kembali ke rumah Rangga lalu menyumbat mayat Rangga ke dalam sebuah karung.

Mayat Rangga ditemui terapung di sebatang sungai pada sebelah petang keesokan harinya. Menurut media tempatan, tubuh kecil Rangga mempunyai 10 kesan tikaman.

ANAK BIJAK YANG PANDAI MENGAJI

Bapa kandung Rangga, Encik Fadli Fajar, membuka cerita kepada Tribunnews bahawa Rangga sebelum ini tidak tinggal bersama mantan isterinya. Namun, Rangga pada bulan lalu "merengek" ingin mengikut ibunya pulang semasa meraikan ulang tahunnya.

(Gambar: Fadli Fajar/Facebook)

(Gambar: Fadli Fajar/Facebook)

Encik Fadli bagaimanapun reda dengan pemergian anak sulungnya itu. Di mata beliau, Rangga memang seorang anak luar biasa.

Selain selalu muncul sebagai pelajar terbaik di sekolah, kata Encik Fadli, anaknya itu juga fasih membaca Al-Quran.

"Almarhum memang lain dengan anak seusianya. Dia cerdas, ceria, mempunyai pendirian, dan selalu mendapat terbaik dalam kelas. Bahkan sekarang dia sudah mampu membaca Al-Quran," kenang Encik Fadli menangis sedih.

"Allah s.w.t lebih sayang kepadanya, sehingga memanggilnya dulu daripada kami. Selamat jalan nak, kami akan selalu merindukanmu."

Encik Fadli berharap hukuman seberat-beratnya akan dijatuhkan ke atas si pelaku.

Pesalah sebenarnya berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun tetapi dia dilaporkan meninggal dunia pada Ahad (18 Okt) dalam penjara, selepas mengalami sesak nafas.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan