Skip to main content

Dunia

Buat permohonan dan setuju jika guna 'nama pelik'

Ibu bapa rakyat Malaysia yang ingin mendaftarkan nama anak mereka dengan nama yang tidak digalakkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), perlu mengemukakan permohonan dengan menyatakan persetujuan untuk menggunakan nama itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Buat permohonan dan setuju jika guna 'nama pelik'

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 03 Oct 2018 08:33AM Dikemas Kini : 03 Oct 2018 08:40AM

PUTRAJAYA: Ibu bapa rakyat Malaysia yang ingin mendaftarkan nama anak mereka dengan nama yang tidak digalakkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), perlu mengemukakan permohonan dengan menyatakan persetujuan untuk menggunakan nama itu.

Dalam satu kenyataan, JPN menyatakan bahawa pihaknya meletakkan penamaan kanak–kanak yang dilarang dalam dua kategori, iaitu Nama Yang Ditegah dan Nama Yang Tidak Sesuai.

JPN menjelaskan Nama Yang Ditegah adalah seperti nama gelaran, keturunan, lucah, bermaksud buruk, pangkal nama (initials) dan ringkas. Nama Yang Tidak Sesuai pula adalah seperti nama binatang, lucu, buah-buahan, peralatan, huruf serta angka atau gabungan kedua–duanya dan nama yang tidak elok maknanya.

“JPN tidak meletakkan syarat khusus dalam pemberian nama kanak–kanak oleh ibu bapa.

“Keputusan untuk pemberian nama kepada kanak-kanak adalah bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa atau pemaklum kelahiran itu. Nama yang diberikan oleh ibu bapa bergantung kepada individu itu dan adalah subjektif.

“Ibu bapa yang ingin menamakan anak mereka dengan nama yang tidak digalakkan dan pihak JPN akan menasihatkan mereka akan ketidaksesuaian nama yang dipilih terlebih dahulu,” menurut kenyataan itu.

JPN menyatakan setakat ini, jabatan itu menerima pendaftaran nama mengikut permohonan yang didaftarkan dan tidak menghadkan jumlah aksara.

“Pendaftaran nama bagi Sijil Kelahiran juga akan digunakan dalam MyKad. Ruang nama atas MyKad pada masa ini hanya boleh dimasukkan sebanyak 80 aksara sahaja.

“Bagaimanapun jika terdapat mana-mana individu yang mempunyai nama melebihi 80 aksara, individu itu boleh dikeluarkan Kad Pengesahan Nama (KPN) sebagai pengesahan nama panjang yang tidak muat dicetak di atas MyKad,” menurut kenyataan itu lagi. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita