Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Brunei umum pelaksanaan gaji minimum secara berperingkat

Anggaran Waktu Membaca:
Brunei umum pelaksanaan gaji minimum secara berperingkat

Gambar fail Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah. (Gambar: AFP)

BANDAR SERI BEGAWAN: Brunei akan memperkenalkan dasar gaji minimum bagi semua industri dalam sektor swasta, umum Sultan Hassanal Bolkiah pada Sabtu (15 Jul), lapor The Scoop.

Semasa berucap bagi menandakan ulang tahunnya yang ke-77, Sultan Hassanal Bolkiah berkata usaha itu adalah "satu langkah ke arah memperkukuhkan kehidupan dan kesejahteraan rakyat" dan menggesa sektor perniagaan untuk menyokong dasar berkenaan.

Dasar gaji minimum akan dilaksanakan melalui dua fasa bagi kedua-dua pekerja tempatan dan pekerja dari luar negara, sama ada mereka bekerja sepenuh masa atau secara sambilan.

Fasa pertama meliputi sektor perbankan dan kewangan serta sektor infokom (ICT), manakala gaji minimum bagi sektor lain akan diumumkan pada tarikh lain, jelas Jabatan Buruh dalam kenyataan medianya.

Pekerja sepenuh masa dalam bidang perbankan, kewangan dan ICT layak menerima pendapatan minimum $500 sebulan, manakala pekerja sambilan layak menerima sekurang-kurangnya $2.62 sejam.

Gaji minimum akan diberikan sebelum sebarang sumbangan ke akaun-akaun persaraan, menurut laporan The Scoop.

Jabatan Buruh menyatakan majikan akan diberikan tempoh peralihan selama enam bulan bagi mengemas kini kontrak pekerja jika perlu.

Bagi pekerja yang mana pendapatan mereka berada di bawah nilai ambang minimum, majikan mesti mengemas kini kontrak mereka bagi mencerminkan kadar gaji minimum dan mendapatkan tandatangan pekerja bagi syarat baru itu.

Jabatan berkenaan menjelaskan undang-undang baru bagi menguatkuasakan gaji minimum itu akan bermula 12 Julai 2023.

"(Undang-undang baru itu) bertujuan menetapkan pendapatan asas yang munasabah bagi memenuhi keperluan penting kakitangan, melindungi pekerja dari gaji terlalu rendah, mendorong pekerja tempatan dan merangsang pertumbuhan sosioekonomi," menurut jabatan itu, seperti dipetik laporan The Scoop.

Majikan yang tidak mematuhi arahan baru itu boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga setahun dan didenda sehingga $3,000.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan