Skip to main content

Dunia

British Columbia isytihar darurat, lebih 20,000 penduduk lari daripada kebakaran hutan

British Columbia mengisytiharkan darurat pada Sabtu (8 Ogos) selepas ribuan penduduk di wilayah barat Kanada itu diarahkan untuk berpindah akibat kebakaran hutan yang merebak dengan pantas.

Anggaran Waktu Membaca:
British Columbia isytihar darurat, lebih 20,000 penduduk lari daripada kebakaran hutan

Asap kebakaran Bald Range menyelubungi sebuah kawasan perumahan di Summerland, British Columbia, Kanada, pada 7 Ogos 2026. (Gambar: Edaran menerusi REUTERS/Terry Fries)

Diterbitkan : 09 Aug 2026 10:45AM
PENTICTON: British Columbia mengisytiharkan darurat pada Sabtu (8 Ogos) selepas ribuan penduduk di wilayah barat Kanada itu diarahkan untuk berpindah akibat kebakaran hutan yang merebak dengan pantas.

Saiz kebakaran hutan tersebut hampir berganda dalam tempoh semalaman.

Kebakaran hutan Bald Range masih tidak terkawal dan merebak dengan pantas sehingga meliputi sekitar 9,500 hektar tanah, menyebabkan arahan pemindahan dikeluarkan di Summerland, Peachland dan daerah-daerah lain di barat Tasik Okanagan, di kawasan pedalaman selatan wilayah tersebut.

Kawasan itu menghasilkan sebahagian besar wain British Columbia dan merupakan kawasan pengeluaran wain kedua terbesar di Kanada.

Premier David Eby memberitahu sidang media pada Sabtu bahawa seorang pegawai bomba menyifatkan kebakaran itu seperti "sebutir bom yang meletup".

"Beliau menggambarkan api pada pokok setinggi 100 kaki, dengan nyalaan api yang menjulang 200 kaki lagi di atasnya, dan kebakaran itu menghasilkan sistem cuacanya sendiri yang mencetuskan kilat, yang kemudian menyebabkan kebakaran terus merebak," kata Encik Eby.

"Rumah-rumah musnah dan hartanah turut rosak. Sesetengah penduduk terperangkap apabila keadaan berubah dengan sangat pantas dan terpaksa diselamatkan," kata beliau sambil menambah bahawa keadaan masih tidak menentu dan terus mengancam keselamatan.

Summerland mempunyai kira-kira 12,000 penduduk berdasarkan banci 2021, manakala Peachland mempunyai sekitar 6,500 penduduk.

Pengisytiharan darurat memberi pemerintah wilayah tersebut akses segera kepada kuasa khas, termasuk untuk mengenakan sekatan perjalanan dan melindungi bekalan bagi mencegah kenaikan harga secara melampau, selain menyediakan langkah-langkah khusus untuk menyelaraskan operasi menyelamat.

Para pegawai berkata, kebakaran hutan Bald Range mencetuskan operasi pemindahan terbesar setakat musim panas ini, dengan lebih 20,000 orang di seluruh British Columbia terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

"Banyak ladang terjejas. Kami belum tahu berapa banyak bangunan yang musnah. Mereka masih sibuk memadamkan kebakaran," kata Datuk Bandar Summerland Doug Holmes dalam satu temu bual melalui telefon. "Kami perlu bersedia untuk menghadapi keadaan terburuk."
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita