Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Britain usul haramkan Hamas sebagai 'pertubuhan pengganas'

Tindakan menunjukkan sokongan kepada Hamas di Britain boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun jika kerajaan negara itu berjaya mengharamkan kumpulan tersebut sebagai satu pertubuhan pengganas, menurut Pejabat Dalam Negeri pada Jumaat (19 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Britain usul haramkan Hamas sebagai 'pertubuhan pengganas'

Para penyokong Hamas di Carikan Gaza pada 15 Okt 2021 tunjukkan sokongan bagi rakyat Palestin yang dipenjarakan Israel (Gambar: MOHAMMED ABED/AFP)

Diterbitkan : 20 Nov 2021 03:31PM Dikemas Kini : 20 Nov 2021 03:39PM

LONDON: Tindakan menunjukkan sokongan kepada Hamas di Britain boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun jika kerajaan negara itu berjaya mengharamkan kumpulan tersebut sebagai satu pertubuhan pengganas.

Demikian menurut Pejabat Dalam Negeri pada Jumaat (19 Nov).

Setiausaha Dalam Negeri Priti Patel mengumumkan langkah itu untuk membawa kedudukan Britain selaras dengan pendirian Amerika Syarikat, yang menetapkan Hamas sebagai kumpulan pengganas pada 1995, dan Kesatuan Eropah.

Parlimen akan mengundi bagi usulan itu minggu depan dan jika diluluskan, boleh berkuat kuasa mulai Jumaat depan (26 Nov).

Cik Patel berhujah langkah mengharamkan secara terang-terangan di bawah Akta Keganasan 2000 adalah perlu kerana ia adalah mustahil untuk membezakan antara sayap politik dengan ketenteraan Hamas.

Sayap tentera Briged al-Qassam di bawah gerakan yang memerintah Carikan Gaza itu sudah diharamkan di Britain sejak Mac 2001.

"Hamas mempunyai keupayaan pengganas yang jelas, termasuk akses kepada senjata yang luas dan canggih, serta kemudahan pengganas, dan ia sudah lama terlibat dalam keganasan pengganas yang ketara," tegasnya dalam satu kenyataan.

"Hamas melakukan, mengambil bahagian, bersiap sedia dan mempromosi serta menggalakkan keganasan."

Cik Patel, yang sedang dalam lawatan ke Washington, sebelum ini menggelar Hamas "secara asasnya dan tegarnya anti-Yahudi", sambil menambah bahawa larangan itu diperlukan untuk melindungi masyarakat Yahudi.

Perdana Menteri Israel Naftali Bennett memuji perkembangan itu dan menggelar Hamas sebagai "kumpulan Islam radikal yang menyasarkan warga Israel yang tidak bersalah dan mendambakan kemusnahan Israel".

"Saya mengalu-alukan hasrat UK untuk mengisytiharkan Hamas secara keseluruhannya sebagai pertubuhan pengganas - kerana itulah ia sebenarnya," tulisnya di Twitter.

Menteri Luar Yair Lapid berkata tindakan itu adalah hasil "kerjasama" antara pemerintah Britain dan Israel.

LANGKAH UK "SATU JENAYAH TERHADAP RAKYAT PALESTIN": HAMAS

Bagaimanapun jurucakap Hamas Hazem Qassem menyifatkan tindakan itu sebagai "jenayah terhadap rakyat Palestin dan seluruh sejarah perjuangan mereka, serta satu kecaman terhadap perjuangan sah semua rakyat bebas menentang penjajahan".

Encik Qassem berkata keputusan itu, jika diluluskan parlimen, akan menjadi "dosa besar politik, moral dan undang-undang yang dilakukan oleh Britain" dan hanya berpihak kepada Israel.

Usulan itu bererti tindakan mengibarkan bendera Hamas, menganjurkan pertemuan dengan anggotanya atau memakai pakaian menyokong kumpulan itu akan diharamkan.

Dari segi politik, ia boleh memaksa parti Buruh Britain untuk mengambil pendirian terhadap Hamas, memandangkan sokongan kuat bagi Palestin dalam kalangan sayap haluan kiri parti pembangkang utama itu.

Bekas pemimpin Jeremy Corbyn pada 2016 berkata beliau kesal pernah memanggil ahli Hamas dan Hizbullah sebagai "rakan" semasa mesyuarat di parlimen Britain.

Encik Corbyn, seorang sosialis veteran, yang berkata beliau cuba menggunakan bahasa "inklusif" untuk menggalakkan perbincangan mengenai proses damai, meletak jawatan selepas kalah teruk dalam pilihan raya Buruh 2019.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan