Skip to main content

Dunia

Britain umum rombakan besar-besaran dasar pencari suaka

Britain pada Sabtu (15 Nov) menyatakan bahawa ia akan melancarkan rombakan terbesar bagi dasar berkaitan pencari suaka dalam era moden, dengan mengambil inspirasi daripada pendekatan Denmark, antara negara yang paling tegas di Eropah dan sering dikecam kumpulan hak asasi.
Anggaran Waktu Membaca:
Britain umum rombakan besar-besaran dasar pencari suaka
Para pendatang berjalan di pantai Petit-Fort-Philippe di Gravelines, berhampiran Calais, Perancis, pada 27 September 2025. (Gambar: REUTERS/Abdul Saboor)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 16 Nov 2025 11:37AM
LONDON: Britain pada Sabtu (15 Nov) menyatakan bahawa ia akan melancarkan rombakan terbesar bagi dasar berkaitan pencari suaka dalam era moden, dengan mengambil inspirasi daripada pendekatan Denmark, antara negara yang paling tegas di Eropah dan sering dikecam kumpulan hak asasi.

Kerajaan Parti Buruh semakin memperketat dasar imigresennya, khususnya berhubung kemasukan pendatang haram yang menaiki bot-bot kecil dari Perancis, sedang ia berusaha membendung peningkatan populariti parti populis Reform UK, yang menerajui agenda imigresen dan memaksa Parti Buruh untuk mengambil pendirian yang lebih tegas.

Sebagai sebahagian daripada perubahan tersebut, kewajipan berkanun untuk menyediakan sokongan kepada para pencari suaka tertentu, termasuk perumahan dan elaun mingguan, akan dimansuhkan, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Britain.

Jabatan itu, yang diterajui Shabana Mahmood, berkata langkah berkenaan akan terpakai bagi para pencari suaka yang boleh bekerja tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian, serta mereka yang melanggar undang-undang. Ia menyatakan sokongan yang dibiayai pembayar cukai akan mengutamakan mereka yang menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat setempat.

Cik Mahmood dijangka akan memberikan butiran lanjut pada Isnin mengenai langkah berkenaan, yang menurut Kementerian Dalam Negeri bertujuan menjadikan Britain kurang menarik kepada para pendatang haram dan memudahkan proses untuk mengusir mereka.

“Negara ini mempunyai tradisi yang membanggakan dalam menyambut mereka yang melarikan diri daripada bahaya, tetapi kemurahan hati kita menarik pendatang haram yang menyeberangi Selat Inggeris,” kata Cik Mahmood. “Kadar dan skala hijrahan memberi tekanan besar kepada masyarakat.”

Lebih 100 badan kebajikan Britain menulis surat kepada Cik Mahmood, menggesanya untuk “menghentikan tindakan yang menyalahkan pendatang dan dasar demonstratif yang hanya memudaratkan”, sambil berkata langkah sedemikian menyemarakkan isu perkauman dan keganasan.

Tinjauan menunjukkan bahawa isu imigresen kini mengatasi ekonomi sebagai kebimbangan utama para pengundi. Seramai 109,343 individu memohon suaka di Britain dalam tempoh setahun hingga Mac 2025, peningkatan 17 peratus berbanding tahun sebelumnya dan enam peratus lebih tinggi daripada paras tertinggi 2002 sebanyak 103,081.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita