Britain siasat TikTok, Reddit berhubung penggunaan data peribadi kanak-kanak
Badan pemantau privasi Britain, iaitu Pejabat Pesuruhjaya Maklumat pada Isnin (3 Mac) melancarkan siasatan terhadap bagaimana TikTok, Reddit dan laman perkongsian imej online Imgur melindungi privasi kanak-kanak.
Ilustrasi logo platform media sosial TikTok. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)
Syarikat-syarikat media sosial menggunakan algoritma yang rumit untuk memberi keutamaan terhadap sesetengah kandungan dan menarik perhatian pengguna.
Namun, keupayaan algoritma untuk menonjolkan kandungan serupa boleh menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada kandungan berbahaya yang semakin meningkat.
Justeru, badan pemantau itu sedang menyiasat bagaimana wadah perkongsian video ringkas milik ByteDance, TikTok menggunakan maklumat peribadi pengguna berusia antara 13 dengan 17 tahun untuk membuat cadangan kandungan bagi golongan itu.
Platform media sosial Reddit dan Imgur juga sedang disiasat berhubung bagaimana mereka menilai usia pengguna kanak-kanak di platform mereka.
"Jika kami menemui bukti mencukupi bahawa mana-mana syarikat itu telah melanggar undang-undang, kami akan mengemukakan hal ini kepada mereka dan mendapatkan keterangan mereka sebelum mencapai keputusan muktamad," menurut Pejabat Pesuruhjaya Maklumat dalam satu kenaytaan.
TikTok, Reddit, dan Imgur tidak segera menjawab permohonan komen dari Reuters.
Britain sebelum ini telah meluluskan undanag-undang yang mengenakan peraturan lebih ketat terhadap platform media sosial.
Ini termasuk mandat untuk platform-platform itu menghalang kanak-kanak daripada mengakses kandungan berbahaya dan tidak sesuai bagi peringkat umur mereka, dengan melaksanakan langkah-langkah pemeriksaan dan sekatan umur.
Platform media sosial termasuk Facebook, Instagram dan TikTok perlu "mengawal" algoritma mereka untuk menapis atau menurunkan sebarang kandungan berbahaya bagi melindungi kanak-kanak di bawah usulan langkah perlindungan kanak-kanak yang diterbitkan pada tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.