Britain secara rasmi iktiraf Palestin selepas Israel abaikan kata dua untuk tamatkan perang Gaza
Britain menyatakan pada Ahad (21 Sep) ia akan mengiktiraf negara Palestin selepas Israel gagal memenuhi syaratnya, termasuk gencatan senjata dalam perang Gaza yang sudah berlarutan selama hampir dua tahun.
Britain menyatakan pada 21 Sep 2025 ia mengiktiraf negara Palestin selepas Israel gagal penuhi syaratnya. (Gambar: AP/Toby Melville, Foto Pool)
"Hari ini, kami menghidupkan semula harapan keamanan bagi warga Palestin dan Israel, dan huraian dua negara, Britain secara rasmi mengiktiraf negara Palestin," kata Perdana Menteri Britain Keir Starmer di wadah X.
Keputusan London itu menyelaraskannya dengan lebih 140 negara, tetapi ia menjengkelkan Israel dan sekutu utamanya, Amerika Syarikat.
Keputusan itu cukup simbolik kerana Britain memainkan peranan utama dalam pembangunan Israel sebagai sebuah negara moden menyusuli Perang Dunia Kedua dan ia sudah lama menjadi negara sekutunya.
Kanada dan Australia juga mengiktiraf negara Palestin pada Ahad dan beberapa lagi negara dijangka berbuat demikian pada minggu ini di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.
Dalam langkah yang meletakkan Encik Starmer bertentangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Britain memberi kata dua kepada Israel pada Julai lalu sambil menyatakan ia akan mengiktiraf negara Palestin melainkan Israel mengambil langkah untuk menamatkan perang Gaza.
Husam Zomlot, ketua Misi Palestin di London menyifatkan keputusan itu sebagai "satu pengiktirafan sudah lama tertunggak" dan "ia bukan tentang Palestin, tetapi mengenai Britain memenuhi tanggungjawab".
"Ia menandakan satu langkah yang tidak boleh diubah ke arah keadilan, keamanan, dan membetulkan kesilapan dalam sejarah," katanya dalam satu kenyataan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.