Britain rampas 15 jongkong emas dari wanita S'pura; berkait rangkaian pengubahan wang haram
(Gambar: NCA)
SINGAPURA: Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) Britain merampas sebanyak 15 jongkong emas bernilai £650,000 (S$1.2 juta) yang berkaitan dengan satu rangkaian pengubahan wang haram antarabangsa pada Rabu (26 Jan).
Siasatan bermula apabila seorang wanita Singapura ditahan di Lapangan Terbang Heathrow pada 2020, semasa beliau membawa jongkong-jongkong emas itu dalam beg tangannya.
Wanita itu tiba dari Singapura dan singgah di lapangan terbang tersebut untuk menaiki pesawat ke Chennai, India, menurut agensi tersebut.
"Pada awalnya, wanita itu memberitahu pasukan penyiasat NCA bahawa dia sedang menghantar jongkong-jongkong emas daripada seorang tukang emas di Singapura kepada seorang tukang emas di India. Namun, dia tidak mempunyai penjelasan bagi perjalanannya yang pelik itu," menurut agensi tersebut pada Khamis (27 Jan).
"Siasatan lanjut oleh NCA mendedahkan bahawa invois-invois yang dibawanya bagi jongkong emas tersebut adalah palsu dan tukang emas di Chennai itu tidak wujud."
Jongkong-jongkong emas itu dirampas sebagai hasil yang disyaki kutipan daripada jenayah dan wanita itu dibenarkan untuk menyambung perjalanannya, tambah NCA.
Selepas kesnya dibicarakan selama dua hari di Mahkamah Majistret Uxbridge pada Rabu (26 Jan), NCA dibenarkan untuk merampas jongkong-jongkong itu dibawah Akta Hasil Kutipan Jenayah.
Siasatan mendedahkan bahawa jongkong-jongkong emas itu adalah milik satu rangkaian jenayah pengubahan wang haram yang aktif di Eropah dan Asia, kata Ketua Cawangan NCA Andy Noyes.
Pasukan penyiasat bekerjasama dengan pasukan penyiasat dari India untuk membuktikan bahawa cerita wanita itu salah, tambah Encik Andy.
"Emas ialah satu barangan yang menarik bagi para penjenayah untuk memindahkan wang kerana jumlah yang kecil boleh bernilai tinggi," katanya.
"Kami percaya bahawa mereka mencuba untuk memindahkan jongkong-jongkong emas itu melalui London untuk menyembunyikan perjalanan mereka dan mengelak perhatian penguat kuasa undang-undang India selepas tiba di sana."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.