Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Britain pulangkan barang kemas purba zaman Angkor kepada Kemboja

Anggaran Waktu Membaca:
PHNOM PENH: Sebanyak 77 barang kemas kuno Kemboja yang hilang telah diserahkan kembali kepada Kemboja oleh keluarga mendiang pengumpul barang antik, Douglas Latchford, dari Britain.

Demikian menurut kenyataan akhbar Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus Kemboja pada Isnin (20 Feb).

Emas dan kepingan logam berharga itu terdiri daripada mahkota, rantai, gelang, tali pinggang, anting-anting dan azimat dan dihasilkan semasa zaman pra-Angkor dan Angkor.

Barangan itu tiba di Kemboja pada Jumaat lalu, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan itu, sebilangan daripada khazanah yang belum pernah dilihat sebelum ini disiarkan dalam buku 'Khmer Gold: Gifts of the Gods', yang dikarang bersama oleh Emma C. Bunker dan Douglas A.J. Latchford (2008).
Koleksi yang dipulangkan itu merupakan tambahan kepada artifak batu dan gangsa lain yang telah dipulangkan Britain pada September 2021.

Menterinya, Phoeurng Sackona, berkata keamanan dan kestabilan politik memberi peluang kepada Kemboja untuk mendapatkan semula khazanah yang tidak ternilai itu, yang telah dirompak daripada kerajaan semasa perang beberapa dekad lalu.

"Pemulangan khazanah negara ini membuka era baru pemahaman dan ilmu mengenai empayar Angkor dan kepentingannya kepada dunia," kata beliau.

Cik Sackona turut meminta individu, muzium dan institusi lain di seluruh dunia yang memiliki artifak Kemboja supaya memulangkannya.

"Kami menganggap pemulangan itu sebagai tindakan yang mulia, yang bukan sahaja menunjukkan sumbangan penting kepada budaya negara, bahkan turut menyumbang kepada perdamaian dan pemulihan rakyat Kemboja yang melalui dekad perang saudara," katanya.

Pada 18 September 2020, keluarga Latchford bersetuju untuk memulangkan keseluruhan koleksi barangan antik Kemboja selepas rundingan selama tiga tahun, menurut kementerian tersebut.
Sumber : Bernama/AE/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan