Skip to main content

Dunia

Britain, Perancis bersiap hadapi gelombang haba baharu; Eropah Barat catat suhu rekod

Britain dan Perancis sedang bersiap sedia menghadapi gelombang haba kelima musim ini, menyusuli tempoh cuaca panas ekstrem yang berpanjangan dan berulang kali menyebabkan suhu melonjak di seluruh Eropah sejak Mei.

Anggaran Waktu Membaca:
Britain, Perancis bersiap hadapi gelombang haba baharu; Eropah Barat catat suhu rekod

Bot-bot terkandas di cabang Sungai Rhine yang semakin kekurangan air di Mackenheim dekat Mainz, Jerman, pada 10 Ogos 2026. (Gambar: AP/Michael Probst)

Diterbitkan : 10 Aug 2026 11:01PM
  • Britain dan Perancis menghadapi gelombang haba kelima dengan suhu dijangka mencecah sehingga 40 darjah Celsius di beberapa kawasan mulai 11 Ogos.
  • Fenomena cuaca panas ekstrem sejak Mei menyebabkan kemarau, kebakaran hutan besar, dan rekod suhu baharu di Eropah Barat, termasuk operasi pemindahan besar di Perancis.
  • Agensi cuaca dan iklim seperti Météo-France dan Copernicus melaporkan suhu permukaan laut dan udara global yang tinggi, dipengaruhi oleh pemanasan global dan El Nino.
  • Di Sepanyol, pasukan bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan, manakala amaran kesihatan dikeluarkan di Britain akibat risiko kepada golongan rentan dan peningkatan kematian.
Dijana oleh AI
PARIS: Britain dan Perancis sedang bersiap sedia menghadapi gelombang haba kelima musim ini, menyusuli tempoh cuaca panas ekstrem yang berpanjangan dan berulang kali menyebabkan suhu melonjak di seluruh Eropah sejak Mei.

Agensi cuaca nasional Météo-France memberi amaran bahawa suhu boleh menghampiri 40 darjah Celsius mulai Selasa (11 Ogos) di tenggara Perancis.

Di Britain pula, amaran kesihatan haba tahap jingga akan berkuat kuasa di sebahagian besar England mulai Selasa, dengan suhu diramalkan meningkat sehingga 36 darjah Celsius pada lewat minggu ini.

Di seluruh Eropah, cuaca panas ekstrem bermula pada Mei dan menyumbang kepada kebakaran hutan besar, kemarau berpanjangan dan rekod suhu baharu di beberapa negara, serta ribuan kematian yang dianggarkan berkaitan haba.

Di peringkat global, 2026 setakat ini merupakan tahun ketiga paling panas, selepas 2024 dan 2025, menurut perangkaan iklim.

Namun, 2026 masih berpotensi mencatat rekod baharu. Para saintis berkata gabungan pemanasan global akibat kegiatan manusia yang semakin pesat dan fenomena El Nino yang sangat kuat – iaitu pemanasan berkala di beberapa bahagian Lautan Pasifik yang menyebabkan perubahan suhu di seluruh dunia – meningkatkan kemungkinan 2026 menjadi tahun paling panas dalam rekod menjelang penghujung tahun.

Bulan lalu mencatatkan purata suhu permukaan laut tertinggi yang pernah direkodkan bagi bulan Julai di lautan luar kutub, iaitu kawasan lautan yang bebas daripada ais laut bermusim, menurut agensi iklim Eropah Copernicus.

Menurut agensi tersebut, keadaan itu sebahagiannya didorong oleh pembentukan fenomena El Nino di kawasan khatulistiwa Lautan Pasifik. Purata suhu baharu bagi Julai ialah 20.96 darjah Celsius, mengatasi rekod 20.89 darjah Celsius yang dicatatkan pada 2023.

Namun, purata suhu udara permukaan global bulan lalu ialah 16.90 darjah Celsius, menjadikannya Julai kedua terpanas dalam rekod, setara dengan Julai 2024, menurut Copernicus.

EROPAH BARAT CATAT REKOD BAHARU

Di Eropah Barat pula, rekod purata suhu bagi tempoh Jun hingga Julai mencecah 21.62 darjah Celsius, menurut Copernicus, sekali gus mengatasi rekod yang dicatatkan pada 2022.

"Sistem tekanan tinggi yang berterusan memerangkap haba di Eropah Barat, manakala suhu ekstrem turut memburukkan kemarau yang meluas. Apabila tanah menjadi semakin kering, ia kehilangan keupayaan untuk memberikan kesan penyejukan semula jadi, menyebabkan haba lebih mudah terkumpul," kata ketua strategik bagi iklim di Pusat Ramalan Cuaca Jangka Sederhana Eropah, Samantha Burgess.

"Ini merupakan contoh jelas bagaimana perubahan iklim memburukkan cuaca panas ekstrem, dengan haba dan kemarau semakin memperkuat kesannya."

Di Perancis sahaja, amaran gelombang haba dikeluarkan pada Mei buat kali pertama dalam rekod, apabila lebih separuh negara itu mencatatkan rekod suhu bulanan baharu.

Cuaca panas semakin buruk pada Jun, dengan sekurang-kurangnya 5,700 kematian, melebihi jumlah biasa yang dicatatkan dalam tempoh tersebut, menurut agensi kesihatan awam Perancis.

Météo-France menyatakan 23 Jun merupakan hari paling panas yang pernah direkodkan di negara itu. Suhu mencecah sehingga 44.3 darjah Celsius di barat daya Perancis.

Dua lagi episod gelombang haba dicatatkan pada Julai, sekali gus memburukkan kebakaran hutan bersejarah di barat daya Perancis yang memaksa 220,000 orang meninggalkan kediaman mereka dalam salah satu operasi pemindahan terbesar di benua itu sejak Perang Dunia II.

SEPANYOL BERGELUT DENGAN KEBAKARAN HUTAN

Suhu di Britain sedikit lebih rendah pada Isnin, namun negara itu sedang bersiap sedia untuk menghadapi gelombang haba kelimanya dalam musim panas yang luar biasa panas dan kering, dengan separuh kawasan England dan seluruh Wales dilanda kemarau.

Data awal menunjukkan England dan Wales mengalami bulan Julai paling kering sejak rekod bermula pada 1836, dengan 19 daerah di England langsung tidak menerima hujan sepanjang bulan itu.

Amaran haba tersebut menyatakan bahawa kesan ketara terhadap khidmat kesihatan dijangka berlaku, termasuk peningkatan kematian dalam kalangan warga emas dan golongan rentan.

Dua gelombang haba yang mencatatkan rekod pada Mei dan Jun menyebabkan lebih 2,800 kematian berlebihan yang dikaitkan dengan suhu melampau.

Seorang remaja berusia 18 tahun meninggal dunia selepas mengalami kesulitan di laut di pantai Camber Sands di selatan England pada Ahad, yang terkini daripada puluhan kematian di perairan terbuka sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Di Sepanyol, para anggota bomba sedang menangani beberapa kebakaran, termasuk satu yang tercetus pada Jumaat di Tírig, Valencia, yang sudah membakar kawasan seluas lebih lapan kilometer persegi. Lebih 300 kakitangan dan 21 pesawat dikerahkan untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Satu lagi kebakaran hutan di selatan wilayah Huelva menjejas kawasan dengan keluasan yang hampir sama sejak ia tercetus pada Khamis.

Walaupun suhu di seluruh Sepanyol kekal tinggi, beberapa bahagian negara itu dijangka mengalami ribut petir pada tengah hari Isnin yang mungkin membawa tiupan angin kencang.
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita