Britain mungkin catat hari paling panas pada 2026; suhu boleh cecah 38°C
Gelombang haba di Britain bukan sahaja menimbulkan risiko kesihatan dan kebakaran hutan, malah boleh menjejas prasarana termasuk landasan kereta api dan jalan raya yang tidak direka untuk menghadapi haba ekstrem. (Gambar: REUTERS/Guglielmo Mangiapane)
Amaran "panas ekstrem" tahap ambar yang jarang dikeluarkan sudah diumumkan oleh Met Office bagi London serta beberapa kawasan di Tenggara, East Midlands, Timur England, West Midlands dan South Yorkshire.
Amaran itu berkuat kuasa dari 9.00 pagi hingga tengah malam Khamis (13 Ogos).
Perkembangan tersebut menyusuli mesyuarat tergempar jawatankuasa Cobra pada Rabu (12 Ogos) bagi membincangkan keadaan cuaca panas dan kering yang berpanjangan.
Pakar kaji cuaca Met Office Alex Burkill berkata suhu di kawasan yang tertakluk kepada amaran tersebut boleh mencecah antara 36 dengan 38 darjah Celsius.
Menurutnya, suhu setinggi itu boleh menjejas prasarana termasuk landasan kereta api dan jalan raya yang tidak direka untuk menghadapi haba ekstrem.
Cuaca panas itu juga boleh mendatangkan kesan terhadap kesihatan orang ramai.
Suhu tertinggi yang dicatatkan di Britain tahun ini ialah 38 darjah Celsius di Lingwood, Norfolk, pada 28 Jun.
Menurut Encik Burkill, Khamis (13 Ogos) boleh menjadi hari paling panas tahun ini sekiranya suhu melebihi paras tersebut.
Jika suhu melebihi 38.5 darjah Celsius, ia juga berpotensi menjadi hari paling panas bagi bulan Ogos dalam rekod, meskipun kemungkinan itu dianggap rendah.
RISIKO KEBAKARAN HUTAN MENINGKAT
England dan Wales turut berdepan peningkatan kebakaran hutan menyusuli keadaan panas dan kering yang berpanjangan.
Sekitar 1,017 kebakaran hutan dilaporkan di England dan Wales tahun ini, menurut data Majlis Ketua Bomba Kebangsaan (NFCC).
Pasukan bomba di Hampshire dan Isle of Wight pula masih memadam kebakaran di kawasan hutan yang dilindungi di New Forest selepas sebuah van terbakar di A31 dekat Ringwood pada Ahad (9 Ogos).
Pasukan bomba dijangka berada di lokasi sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari lagi.
Kebanyakan pasar raya utama Britain turut menghentikan penjualan set barbeku pakai buang sejak beberapa minggu lalu selaras dengan panduan NFCC.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai mematuhi nasihat kesihatan, termasuk memeriksa keadaan anggota keluarga dan kenalan yang lebih berusia.
Dua gelombang haba yang memecahkan rekod pada Mei dan Jun dikaitkan dengan lebih 2,800 kematian.
Royal College of Nursing turut memberi amaran mengenai kesan cuaca panas terhadap kakitangan dan pesakit di hospital, dengan suhu di sesetengah tempat dilaporkan melebihi 30 darjah Celsius.
Hampir tiga perempat kawasan England dan seluruh Wales kini mengalami kemarau, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap bekalan air bagi isi rumah, pertanian dan alam sekitar.
Cuaca panas turut menjejas perkhidmatan kereta api.
Chiltern Railways dan East Midlands Railway menasihati penumpang supaya hanya melakukan perjalanan jika perlu, manakala beberapa pengendali lain mengurangkan jadual perjalanan atau memberi amaran mengenai kemungkinan pembatalan pada saat akhir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.