Skip to main content

Dunia

Britain mahu luaskan hubungan dengan India

Anggaran Waktu Membaca:
Britain mahu luaskan hubungan dengan India

Menteri Luar Britain David Lammy mengadakan lawatan dua hari ke India. (Gambar: EPA)

Diterbitkan : 07 Jun 2025 08:48PM Dikemas Kini : 07 Jun 2025 08:54PM

LONDON: Setiausaha Luar Britain David Lammy akan berusaha memperkukuh hubungan ekonomi Britain-India semasa lawatannya ke New Delhi hujung minggu ini. Beliau menyifatkan perjanjian dagang yang dimeterai kedua-dua negara itu sebagai "hanya permulaan aspirasi bersama," kata Encik Lammy kepada para wartawan.

Perdagangan dan isu penghijrahan akan menjadi tumpuan utama lawatan Encik Lammy, yang dijadual bertemu Perdana Menteri India Narendra Modi dan Menteri Ehwal Luar S Jaishankar.

Pejabat Luar Britain memaklumkan Encik Lammy yang dijangka tiba di New Delhi pada Sabtu (7 Jun), juga akan menyentuh tentang "ketegangan yang bertambah sengit susuli serangan pengganas di Pahalgam dan bagaimana tempoh keamanan yang berlanjutan dapat terus disokong demi kestabilan serantau."

Pakistan dan India sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata yang diusulkan Amerika Syarikat bulan lalu, selepas ketegangan bertambah sengit akibat serangan maut ke atas para pelancong di Pahalgam, Kashmir.

Menjelang lawatannya, Encik Lammy berkata: “pemeteraian perjanjian perdagangan bebas hanyalah permulaan bagi aspirasi kami – kami sedang membina kerjasama moden dengan India untuk era global yang baharu.

“Kami mahu melangkah lebih jauh untuk memupuk hubungan yang lebih erat dan bekerjasama dalam usaha merangsang pertumbuhan, memajukan teknologi inovatif, menangani krisis iklim, melaksanakan keutamaan migrasi, dan meningkatkan keselamatan untuk rakyat.”

Pejabat Luar Britain menyatakan rundingan di New Delhi akan memberi tumpuan terhadap usaha “memperdalam dan mempelbagaikan Rakan Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita