Skip to main content

Dunia

Britain lancar skim penempatan semula bagi bantu warga Afghanistan

Britain akan melancarkan satu skim penempatan semula yang baru bagi warga Afghanistan yang sangat memerlukan bantuan sekarang ini, terutama sekali kaum wanita dan kanak-kanak perempuan, setelah Taliban merampas kuasa negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Britain lancar skim penempatan semula bagi bantu warga Afghanistan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Aug 2021 08:57AM Dikemas Kini : 17 Aug 2021 08:58AM

LONDON: Britain akan melancarkan satu skim penempatan semula yang baru bagi warga Afghanistan yang sangat memerlukan bantuan sekarang ini, terutama sekali kaum wanita dan kanak-kanak perempuan, setelah Taliban merampas kuasa negara itu.

Perdana Menteri Boris Johnson dijangka akan mengumumkan perincian mengenai skim tersebut.

Para askar Britain sedang berusaha sedaya upaya di tengah-tengah keadaan huru-hara di Kabul untuk memindahkan warga Britain dan Afghanistan yang bekerja untuk kerajaan British, setelah beribu-ribu orang menyerbu lapangan terbang Kabul dalam percubaan untuk melarikan diri dari negara itu.

PM Johnson berkata rakan-rakan antarabangsa perlu bersatu untuk membantu mengelakkan satu krisis kemanusiaan setelah beliau menarik keluar askar British dari Afghanistan menyusuli penarikan balik anggota tentera Amerika Syarikat oleh Presiden Joe Biden.

"Pasukan tentera Britain di Afghanistan bekerja sepanjang masa dalam situasi sangat sukar ini untuk membantu rakyat kita dan seramai mungkin yang lain untuk menyelamatkan diri secepat mungkin," kata seorang jurucakap bagi Pejabat PM Johnson pada Isnin (16 Ogos).

Kerajaan Britain sebelum ini dikecam oleh ahli politik pembangkang, agensi-agensi bantuan kemanusiaan dan sesetengah anggota badan kehakiman kerana gagal membawa masuk apa yang mereka sifatkan sebagai jumlah pelarian yang sewajarnya semasa berlaku krisis pelarian di Eropah sebelum ini.

Kerajaan Britain kini dijangka akan melakar rancangan bagi skim penempatan semula warga Afghanistan yang berasingan daripada sistem perlindungan suaka negara itu, menurut pejabat Encik Johnson. Ia mungkin serupa dengan program yang membawa masuk warga Syria daripada kem-kem pelarian ke Britain.

Jurucakap kerajaan berkata Encik Johnson juga sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan masyarakat antarabangsa bagi mengelakkan berlaku satu krisis kemanusiaan di Afghanistan.

"Ini bermakna menyediakan apa saja sokongan yang kita ada kepada warga Afghanistan yang sudah bekerja keras untuk menjadikan negara itu tempat tinggal yang lebih baik sepanjang 20 tahun lalu dan kini memerlukan bantuan kita," kata jurucakap itu.

PM Johnson merancang untuk mengadakan mesyuarat maya bersama para pemimpin negara-negara G7 dalam masa beberapa hari mendatang untuk membincangkan bagaimana untuk mencegah Afghanistan daripada menjadi ancaman pengganasan antarabangsa dan bagaimana untuk menghulurkan bantuan kepada para penduduk di sana.

Beliau sudah berbincang dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Isnin dan merancang untuk mengadakan rundingan dengan para pemimpin dunia yang lain dalam masa beberapa hari akan datang.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita