Skip to main content

Dunia

AS, Britain laksana sekatan terhadap pegawai China atas pencabulan hak asasi di Xinjiang

Amerika Syarikat pada Isnin (21 Mac) mengumumkan sekatan-sekatan terhadap dua lagi pegawai China berhubung pelanggaran hak asasi manusia yang teruk di wilayah Xinjiang, dengan Washington menyifatkan masyarakat Muslim di wilayah itu sebagai mangsa pembunuhan beramai-ramai.

Anggaran Waktu Membaca:
AS, Britain laksana sekatan terhadap pegawai China atas pencabulan hak asasi di Xinjiang

Gambar fail kemudahan di Xinjiang, China yang dikawal rapi (Gambar: GREG BAKER/AFP)

Diterbitkan : 23 Mar 2021 08:42AM Dikemas Kini : 23 Mar 2021 08:45AM

WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Isnin (21 Mac) mengumumkan sekatan-sekatan terhadap dua lagi pegawai China berhubung pelanggaran hak asasi manusia yang teruk di wilayah Xinjiang, dengan Washington menyifatkan masyarakat Muslim di wilayah itu sebagai mangsa pembunuhan beramai-ramai.

Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat turut menamakan kedua-dua pegawai tersebut iaitu Wang Junzheng, setiausaha Jawatankuasa Parti Xinjiang Production and Construction Corps (XPCC) dan Chen Mingguo, pengarah Biro Keselamatan Awam Xinjiang (XPSB).

Langkah itu melengkapkan tindakan yang diambil oleh Kesatuan Eropah, Britain dan Kanada.

Walaupun tindakan Amerika Syarikat dan negara-negara lain dilihat sebagai mengelakkan diri daripada menyasarkan tindakan masing-masing ke atas kepimpinan utama China, ia dianggap sebagai langkah pertama yang diselaraskan di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden, yang mengambil alih jawatan pada Januari dan berikrar akan bekerjasama dengan sekutu-sekutunya untuk membendung China.

Langkah itu dilaksanakan dua hari selepas mengadakan rundingan "secara langsung dan sengit" antara para pegawai Amerika Syarikat dan China di Alaska minggu lalu, yang memperlihatkan ketegangan antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia pada peringkat awal pentadbiran Biden.

Langkah pada Isnin membekukan aset milik kedua-dua individu itu yang ada kaitan dengan Amerika Syarikat.

Julai lalu, Washington mengenakan sekatan ke atas Setiausaha Parti Komunis Xinjiang, Chen Quanguo, seorang anggota Politburo China yang berpengaruh dan lima pegawai lain, dengan Amerika menjadikan XPSB dan XPCC sebagai sasaran-sasarannya.

"Pihak berkuasa China akan terus menanggung padah atas kekejaman yang berlaku di Xinjiang," kata Andrea Gacki, pengarah Pejabat Kawalan Aset Asing Jabatan Perbendaharaan, dalam kenyataannya.

United Kingdom pada Isnin juga mengumumkan sekatan ke atas empat pegawai China dan sebuah syarikat binaan.

Aset-aset mereka akan dibekukan, umum kerajaan itu dalam kenyataannya.

Beijing bertindak balas terhadap Kesatuan Eropah (EU) dengan menyatakan bahawa ia juga mengenakan sekatan terhadap 10 individu EU, termasuk penggubal undang-undang Eropah, badan pembuat keputusan dasar luar EU yang dikenali sebagai Jawatankuasa Politik dan Keselamatan Eropah dan dua pertubuhan pemikir terkemuka dengan ketegangan diplomatik terus memuncak.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita