Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Britain kesan kes pertama varian baharu mpox lebih mudarat

Anggaran Waktu Membaca:
Britain kesan kes pertama varian baharu mpox lebih mudarat

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 31 Oct 2024 07:43AM Dikemas Kini : 31 Oct 2024 08:11AM

LONDON: Britain telah mengesan kes pertama varian baharu klad Ib mpox, menurut agensi keselamatan kesihatan negara itu (UKHSA) pada Rabu (30 Okt), sambil menambah bahawa risiko terhadap penduduk kekal rendah.

Varian klad Ib adalah sejenis varian baharu yang diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ogos selepas wabak mpox di Republik Demokratik Congo merebak ke negara-negara jiran di Afrika.

Kes itu, yang melibatkan pesakit yang baru-baru ini melakukan perjalanan ke negara-negara terjejas di Afrika, dikesan di London dan individu itu telah dipindahkan ke hospital pakar, menurut UKHSA.

Kontak rapat kes itu sedang dirawat oleh UKHSA dan rakan kongsinya, tambah UKHSA.

Kes jangkitan klad Ib mpox turut dilaporkan di Burundi, Rwanda, Uganda, Kenya, Sweden, India dan Jerman, serta Congo. Ia adalah bentuk virus yang berbeza daripada klad II, yang merebak di peringkat global pada 2022, dengan sebahagian besarnya dalam kalangan lelaki yang mengadakan hubungan seks sesama jenis.

Mpox ialah jangkitan virus yang biasanya menyebabkan simptom-simptom seperti selesema dan nanah pada kulit, dan sekalipun ringan ia boleh membawa maut bagi sesetengah kes. Klad Ib dipercayai boleh menyebabkan penyakit yang lebih mudarat daripada klad II.


Kedua-dua bentuk jangkitan itu boleh disebarkan melalui hubungan fizikal yang rapat, termasuk hubungan seksual.

Pihak berkuasa Britain berkata ia tidak akan memberikan butiran lanjut mengenai pesakit itu, tetapi menambah bahawa kenalan orang itu sedang diperiksa dan akan ditawarkan ujian dan vaksinasi seperti yang diperlukan, serta penjagaan lanjut jika diuji positif atau mengalami simptom.

Menurut angka terkini WHO, lebih 44,000 kes mpox disahkan dan disyaki di Afrika tahun ini, dan lebih daripada 1,000 kematian dilaporkan, sebahagian besarnya di Congo.

Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan