Britain, Kanada, Australia dan Portugal iktiraf negara Palestin
Penduduk Palestin meninggalkan utara Gaza disebabkan oleh operasi tentera Israel, kini bergerak ke arah selatan pada 16 Sep 2025. (Gambar: Reuters/Mahmoud Issa)
Langkah ini dibuat, didorong oleh kekecewaan terhadap perang di Gaza dan bertujuan untuk menggalak huraian dua negara, sekali gus mencetuskan kemarahan daripada Israel.
Keputusan oleh empat negara Barat ini, yang secara tradisinya menyokong Israel, menjadikan mereka sebaris dengan lebih 140 negara lain yang turut menyokong aspirasi warga Palestin untuk membentuk tanah air merdeka daripada wilayah yang diduduki.
Keputusan Britain membawa makna simbolik yang besar, memandangkan ia memainkan peranan penting dalam kewujudan negara Israel moden selepas Perang Dunia II.
"Hari ini, bagi menghidupkan kembali harapan keamanan untuk warga Palestin dan Israel, serta huraian dua negara, Britain secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin," kata Perdana Menteri Keir Starmer.
"Krisis kemanusiaan buatan manusia di Gaza kini semakin teruk. Pengeboman yang berterusan dan semakin dahsyat oleh pemerintah Israel, serangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kebuluran dan kemusnahan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali ."
Negara lain, termasuk Perancis, dijangka akan mengambil langkah yang sama minggu ini di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengecam tindakan tersebut.
"Saya ada mesej yang jelas kepada para pemimpin yang mengiktiraf negara Palestin selepas pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan pada 7 Oktober: Anda sedang memberikan ganjaran besar kepada pengganasan," katanya, merujuk kepada serangan kumpulan Hamas terhadap Israel pada 2023, yang mencetuskan perang hampir dua tahun di Gaza.
"Dan saya ada satu lagi mesej untuk anda: Ia tidak akan berlaku. Sebuah negara Palestin tidak akan ditubuhkan di sebelah barat Sungai Jordan."
Serangan Hamas ke atas Israel mengorbankan 1,200 orang dan menyebabkan 251 orang lagi dijadikan tebusan, menurut data Israel.
Serangan balas Israel di Gaza meragut lebih daripada 65,000 nyawa warga Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, yang turut mencetuskan kebuluran, memusnahkan sebahagian besar bangunan dan menyebabkan kebanyakan penduduk dipindahkan, seringkali lebih daripada sekali.
RAKYAT PALESTIN SAMBUT BAIK PENGIKTIRAFAN
"Ia adalah tanggungjawab kemanusiaan bagi setiap insan yang bermaruah dan bebas di dunia untuk menyokong rakyat Palestin dalam penderitaan yang mereka alami, dan peranan Britain kini adalah sebahagian daripada itu," kata Sharaf Al Tarda, seorang penduduk Palestin di Hebron, Tebing Barat yang diduduki Israel.
Hamas menyambut baik langkah tersebut tetapi berkata ia mesti disertakan dengan "langkah praktikal" untuk menamatkan perang di Gaza dan menghalang Israel daripada merampas Tebing Barat.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata pengiktirafan ini akan membantu membuka jalan bagi "Negara Palestin untuk hidup berdampingan dengan Negara Israel dalam keselamatan, keamanan, dan kejiranan yang baik".
Encik Starmer menulis surat kepada Encik Abbas untuk mengesahkan keputusan Britain, sambil menyatakan bahawa London menyokong penubuhan tanah air Yahudi pada 1917 sambil turut berjanji untuk melindungi hak masyarakat bukan Yahudi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.