Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Britain henti guna kamera CCTV buatan China di bangunan kerajaan

Anggaran Waktu Membaca:
Britain henti guna kamera CCTV buatan China di bangunan kerajaan

Gambar hiasan (Gambar: Ibrahim Rifath/Unsplash)

Diterbitkan : 25 Nov 2022 09:38AM Dikemas Kini : 25 Nov 2022 09:38AM
LONDON: Kerajaan Britain pada Khamis (24 Nov)mengarahkan jabatannya untuk menghentikan penggunaan kamera pengawasan keluaran China di bangunan sensitif, kerana wujud kebimbangan berkaitan risiko keselamatan.

Keputusan itu dibuat selepas semakan semula mengenai "risiko keselamatan semasa dan bagi masa akan datang' berkaitan pemasangan sistem pengawasan visual di bangunan kerajaan," menurut menteri pejabat kabinet Oliver Dowden dalam satu kenyataan bertulis kepada Parlimen.

"Penelitian semula merumuskan bahawa, memandangkan ancaman terhadap United Kingdom (UK) dan peningkatan keupayaan dan rangkaian sambungan sistem ini, kawalan tambahan diperlukan," kata Encik Oliver Dowden.

Arahan British itu adalah bagi kamera televisyen litar tertutup yang dikeluarkan oleh syarikat yang tertakluk kepada undang-undang keselamatan China dan termasuk panduan bagi jabatan untuk memutuskan sambungan peranti sedemikian daripada rangkaian komputer utama, selain mempertimbangkan untuk menghentikan penggunaannya, lapor Reuters.

Langkah itu diambil beberapa bulan selepas berpuluh-puluh penggubal undang-undang menggesa larangan penjualan dan penggunaan kamera televisyen litar tertutup yang dibuat oleh dua firma China yang sebahagiannya milik pemerintah, Hikvision dan Dahua.

Ini berikutan kebimbangan mengenai status produk syarikat itu yang dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi manusia di China.

Hikvision, dalam satu kenyataan kepada Reuters menafikan dakwaan itu dan sebaliknya berkata, ia akan terus berusaha berhubung dengan pihak berkuasa Britain bagi mendapatkan pengesahan lanjut mengenai keputusan berkenaan.

"Hikvision tidak boleh menghantar data daripada pengguna akhir kepada pihak ketiga, kami tidak mengurus pangkalan data pengguna akhir, dan kami juga tidak menjual 'cloud storage' (khidmat penyimpanan awan) di UK," kata jurucakap syarikat itu.

Pejabat British Dahua bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang komen ketika dihubungi Reuters menerusi e-mel.

Amerika Syarikat (AS) sudah mengenakan sekatan perdagangan dan larangan penggunaan kamera cctv keluaran Hikvision, Dahua dan firma-firma China yang lain.
Sumber : Reuters/NA/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa