Britain haramkan kumpulan Palestine Action kerana sembur cat, ceroboh pangkalan udara
Kerajaan Britain mengumumkan pada Isnin (23 Jun) bahawa ia akan mengharamkan kumpulan Palestine Action di bawah undang-undang antipengganasan berikutan "perbuatan merosakkan harta benda awam" ke atas pangkalan tentera udara terbesar Britain pada minggu lalu.
Para penunjuk perasaan pro-Palestin berkumpul untuk adakan bantahan di London, Britain pada 23 Jun 2025. (Gambar: Reuters/Jaimi Joy)
Kumpulan itu mengecam larangan yang disarankan itu, yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri Yvette Cooper, sebagai "reaksi yang tidak terkawal" dan penyokongnya bergelut dengan polis di bahagian tengah London sedang mereka membantah tindakan itu.
Pada Jumaat lalu, para aktivis Palestine Action menceroboh pangkalan RAF Brize Norton di selatan England, menimbulkan tanda tanya terhadap tahap keselamatan di tapak tersebut dan memalukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer.
Video yang dimuat naik oleh kumpulan itu menunjukkan dua aktivis menyembur sebuah pesawat dengan cat merah semasa menceroboh pangkalan itu dengan skuter. Polis antipengganasan sedang menyiasat kejadian itu.
Cik Cooper berkata perbuatan merosakkan harta benda awam di pangkalan itu adalah "yang terbaharu dalam sejarah panjang jenayah yang tidak boleh diterima" yang dilakukan oleh kumpulan itu sejak ia ditubuhkan pada 2020.
“Dalam beberapa kejadian, Palestin Action telah melakukan perbuatan merosakkan harta benda awam dengan tujuan untuk menonjolkan matlamat politiknya dan mempengaruhi kerajaan,” kata Cik Cooper dalam satu kenyataan.
Cik Cooper turut mengumumkan bahawa beliau akan membentangkan draf saranan tersebut kepada parlimen pada Isnin depan yang akan mengharamkan kumpulan itu di bawah Akta Pengganasan Britain 2000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.