Britain beri amaran insiden siber 'meningkat dengan ketara', naik 50% sejak 2024
Insiden-insiden siber di Britain yang diklasifikasikan sebagai "sangat ketara" telah meningkat sebanyak 50 peratus sejak setahun lalu, kata Ketua Pusat Keselamatan Siber Nasional (NCSC) negara itu pada Selasa (14 Okt).
Insiden siber meningkat 50% sejak 2024. (Gambar: REUTERS/Dado Ruvic)
Satu siri serangan siber sejak beberapa bulan kebelakangan ini telah menjejas beberapa jenama terbesar Britain, termasuk Marks & Spencer, Co-op dan Jaguar Land Rover (JLR).
"Setiap pemimpin, sama ada anda berada di dapur atau menjadi bos kepada ribuan orang, anda mesti mempunyai pelan untuk mempertahankan diri daripada serangan siber jenayah," kata Ketua Pegawai Eksekutif NCSC Richard Horne semasa melancarkan semakan tahunannya di London.
NCSC, sebahagian daripada agensi perisik GCHQ Britain, telah diminta untuk membantu menyiasat 429 insiden siber dalam tempoh 12 bulan hingga Ogos lalu, dengan separuh daripadanya dianggap sebagai "kepentingan negara".
Daripada jumlah itu, Encik Horne berkata, 18 diklasifikasikan sebagai "sangat penting" kerana ia mempunyai "impak serius terhadap kerajaan pusat, perkhidmatan penting Britain, sebahagian besar penduduk, atau ekonomi Britain".
Para menteri telah menulis surat kepada syarikat-syarikat, termasuk 350 syarikat terbesar yang dipaparkan pada Indeks FTSE, untuk menggesa mereka agar memahami sokongan yang ada dan menjadikan daya tahan siber sebagai tanggungjawab peringkat lembaga, menurut Jabatan Sains, Inovasi & Teknologi Britain dalam satu kenyataan.
Menurut NCSC, ia telah menangani 204 serangan dalam tiga kategori paling serius pada tahun ini hingga Ogos 2025, lebih dua kali ganda daripada 89 yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Ia memberi gambaran tentang daya tahan syarikat dan terutamanya perniagaan yang lebih kecil dalam rantaian bekalan mereka, yang mungkin lebih terdedah kepada kehilangan tempahan dan pembayaran secara tiba-tiba, jika pelanggan mereka tidak dapat beroperasi.
JLR, yang para penganalisis menganggarkan kerugian kira-kira 50 juta paun setiap minggu daripada penutupan itu, minggu lalu memulakan semula sesetengah pengilangan kenderaannya selepas hampir enam minggu.
Pembuat kereta mewah itu, yang dimiliki oleh Tata Motors India, diberi jaminan pinjaman 1.5 bilion paun oleh kerajaan Britain pada akhir September untuk membantunya menyokong pembekal.
"Jika infrastruktur IT anda lumpuh esok dan semua skrin anda menjadi kosong, bolehkah anda menjalankan sistem gaji anda, memastikan jentera anda berfungsi, atau menyimpan data anda?" kata Encik Horne dalam ucapannya.
"Jika jawapannya tidak, atau lebih berkemungkinan 'tidak tahu', anda harus bertindak sekarang."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.