Britain berdepan gelombang varian Omicron, program vaksinasi dos penggalak dipertingkat
Britain kini berdepan gelombang jangkitan varian Omicron dan dua dos vaksin COVID-19 tidak cukup untuk membendungnya.
(Gambar: AP)
LONDON: Britain kini berdepan gelombang jangkitan varian Omicron dan dua dos vaksin COVID-19 tidak cukup untuk membendungnya.
Amaran itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri Britain Boris Johnson yang kini berusaha mempercepatkan program dos penggalak di negara itu.
Beliau memberi amaran itu beberapa jam selepas para saintis Britain menaikkan tahap amaran COVID-19 kepada 4 mengikut skala 5 mata.
Menurut Encik Johnson, program dos penggalak perlu bergerak lebih pantas kerana para saintis belum menentukan tahap penularan Omicron berbanding varian lain.
Menurutnya, saintis maklum bahawa varian Omicron lebih mudah berjangkit dan perkhidmatan kesihatan negara akan berjuang demi menangani kadar kemasukan tinggi ke hospital jika varian itu mengancam para penduduk yang belum mendapatkan dos penggalak.
"Saya bimbang kita kini menghadapi kecemasan dalam pertempuran kita dengan varian baru Omicron dan kita mesti segera mengukuhkan dinding perlindungan vaksin kita untuk memastikan rakan dan orang tersayang selamat.
"Empat ketua pegawai perubatan UK menaikkan tahap amaran COVID kepada empat, tahap kedua tertinggi kerana kes jangkitan Omicron meningkat dua kali ganda di Britain setiap dua hingga tiga hari.
"Kita tahu daripada pengalaman pahit bagaimana perkara ini berkembang. Tiada siapa yang perlu ragu-ragu berlakunya gelombang Omicron dan kini jelas bahawa dua dos vaksin tidak mencukupi untuk memberikan tahap perlindungan yang kita semua perlukan," katanya.
Encik Johnson berkata semua individu berusia 18 tahun ke atas yang layak di England akan berpeluang mendapatkan dos penggalak sebelum tahun baru.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.