Skip to main content

Dunia

Britain bakal lancar rawatan barah tujuh minit pertama di dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Britain bakal lancar  rawatan barah tujuh minit pertama di dunia

Gambar fail ubat Tecentriq dari Genentech yang dilihat di Institut Barah Huntsman di Universiti Utah, Salt Lake City, Utah pada 22 Jul, 2022 (Gambar: REUTERS/George Frey)

Diterbitkan : 31 Aug 2023 04:09PM

LONDON: Perkhidmatan kesihatan dikendalikan kerajaan Britain akan menjadi yang pertama di dunia menawarkan suntikan rawatan barah kepada ratusan pesakit di England yang berupaya mengurangkan tempoh rawatan sehingga tiga perempat.

Berikutan kelulusan daripada Agensi Pengawalseliaan Produk Ubat dan Penjagaan Kesihatan (MHRA), Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain pada Selasa (29 Ogos) menyatakan bahawa ratusan pesakit yang layak dirawat dengan imunoterapi, atezolizumab, bakal menerima suntikan "di bawah kulit" yang akan menjimatkan lebih banyak masa pasukan perubatan barah.

"Kelulusan ini bukan sahaja membolehkan kami  memberikan penjagaan yang mudah dan lebih pantas untuk pesakit tetapi akan membolehkan pasukan kami merawat lebih ramai pesakit sepanjang hari," kata pakar onkologi di West Suffolk NHS Foundation Trust, Dr Alexander Martin. 

NHS Britain menyatakan suntikan  atezolizumab, yang juga dikenali sebagai Tecentriq, biasanya diberikan kepada pesakit secara intravena terus ke dalam urat melalui titisan. 

Proses tersebut selalunya boleh mengambil masa kira-kira 30 minit atau sehingga satu jam bagi sesetengah pesakit apabila sukar untuk memberi suntikan melalui urat.

Atezolizumab, dihasilkan Genentech, sebuah syarikat Roche, merupakan ubat imunoterapi yang membolehkan sistem imun pesakit untuk mencari dan memusnahkan sel barah.

Buat masa ini, rawatan tersebut ditawarkan melalui pemindahan pesakit NHS yang menghidap pelbagai jenis barah, termasuk barah paru-paru, payudara, hati dan pundi kencing.

NHS Britain menjangkakan sebahagian besar pesakitnya sekitar 3,600 orang yang mendapatkan rawatan atezolizumab setiap tahun di negara tersebut beralih kepada suntikan yang menjimatkan masa itu.

Sumber : AGENCIES/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita