Britain akan haramkan merokok di taman permainan, hospital, luar sekolah
Parti Buruh yang mentadbir Britain telah membentangkan Rang Undang-Undang Tembakau dan Vape di Parlimen pada Selasa (5 Nov).
(Gambar: Getty Images)
Jika ia diluluskan, perbuatan merokok akan dilarang di taman permainan kanak-kanak di luar sekolah serta hospital, lapor United Press International (UPI).
Rang undang-undang itu memberikan kuasa kepada kerajaan Britain untuk memperluaskan larangan sedia ada terhadap merokok di ruang tertutup ke beberapa kawasan terbuka bagi melindungi “kanak-kanak dan golongan yang paling rentan,” menurut Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial dalam satu kenyataan akhbar.
Bagaimanapun, cadangan awal untuk memasukkan kawasan luar dan sekitar premis hospitaliti di England, seperti di ruang luar dan pusat hiburan serta restoran dikecualikan daripada rang undang-undang itu.
Langkah itu sebahagian daripada cadangan menyeluruh untuk melindungi kesihatan awam, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dan ekonomi Britain dengan menghapuskan perbuatan merokok secara berperingkat.
Ini termasuk melarang sesiapa yang berusia 15 tahun ke bawah daripada membeli produk tembakau mulai tahun ini dan mewujudkan generasi yang bebas sepenuhnya daripada “kitaran ketagihan dan akibat buruk daripadanya.”
Rang undang-undang itu juga menghidupkan semula rang undang-undang anti-merokok yang diusulkan oleh Kerajaan Konservatif yang ditadbir oleh Perdana Menteri Rishi Sunak sebelum ini, yang mana konsep generasi bebas asap rokok menjadi teras utama.
Namun ia gagal diluluskan di Parlimen sebelum pilihan raya umum pada Julai lalu di mana parti Konservatif mengalami kekalahan.
Pengiklanan dan penajaan vape juga akan dilarang dan pihak berkuasa akan mempunyai kuasa untuk mengawal perisa, paparan dan pembungkusan semua jenis vape serta produk nikotin lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.