Skip to main content

Dunia

Britain akan hantar lebih banyak jet pejuang ke Teluk, dakwa hubungan dengan Amerika 'masih istimewa'

Anggaran Waktu Membaca:
Britain akan hantar lebih banyak jet pejuang ke Teluk, dakwa hubungan dengan Amerika 'masih istimewa'
Perdana Menteri Britain Keir Starmer memberikan maklumat terkini tentang situasi di Timur Tengah di Bilik Taklimat Downing Street, di London, Britain, 5 Mac 2026. (Gambar: REUTERS/Jaimi Joy)
Diterbitkan : 06 Mar 2026 10:42AM Dikemas Kini : 06 Mar 2026 10:43AM
LONDON: Britain mengirimkan jet pejuang tambahan ke Qatar di tengah-tengah perang yang semakin meluas di Timur Tengah, umum Perdana Menteri Britain Keir Starmer semasa sidang akhbar pada Khamis (5 Mac) ketika menteri pertahanannya melawat Cyprus.

Empat pesawat Typhoon itu akan menyertai skuadron Britain sedia ada di negara Teluk itu "untuk mengukuhkan operasi pertahanan kami di Qatar dan di seluruh rantau ini", kata Encik Starmer kepada wartawan.

Pengumuman itu dibuat selepas Setiausaha Pertahanan Britain, John Healey, tiba di Cyprus susulan serangan dron ke atas pangkalan udara Britain di pulau Mediterranean itu awal minggu ini.

Sebuah dron kawalan jauh buatan Iran menyerang tempat letak pesawat di pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) di Akrotiri pada Isnin (2 Mac).

Dua lagi dron yang dikesan pada hari itu ditembak jatuh oleh pesawat perang Britain.

Encik Healey menulis di X sambil memuatnaikkan gambar dirinya bertemu Menteri Pertahanan Cyprus, Vasilis Palmas.

Pasangan itu membincangkan bagaimana "Britain sedang mengukuhkan lagi pertahanan udara kami untuk menyokong keselamatan bersama kami," tambahnya.

Encik Starmer berkata bahawa dua helikopter Wildcat yang dilengkapi peluru berpandu Martlet yang boleh menembak jatuh dron akan tiba di Cyprus pada Jumaat (6 Mac).

Beliau mengumumkan pengerahan tersebut pada Selasa (3 Mac), sambil menambah bahawa beliau juga akan menghantar "helikopter dengan keupayaan pintas dron" sebagai sebahagian daripada "operasi pertahanan" Britain di rantau itu.

Encik Starmer juga mengerahkan HMS Dragon, sebuah kapal pemusnah pertahanan udara Type 45 yang mampu melancarkan lapan peluru berpandu dalam masa kurang daripada 10 saat dan memandu sehingga 16 peluru berpandu secara serentak.

Namun, ia tidak dijadualkan belayar sehingga minggu depan, menurut para pegawai.

"HUBUNGAN ISTIMEWA MASIH DIJALINKAN"

"Hubungan istimewa" antara Britain dan Amerika Syarikat kekal utuh dan mereka terus berkongsi risikan, tambah Perdana Menteri Britain Keir Starmer semasa sidang akhbar itu, selepas Donald Trump menegurnya kerana teragak-agak untuk menyokong serangan Amerika ke atas Iran.

Selepas pada mulanya enggan membenarkan Amerika Syarikat menggunakan pangkalan Britain untuk kempen Amerika-Israel, Encik Starmer diselar secara peribadi oleh presiden Amerika, yang berkata pemimpin Britain itu "bukan Winston Churchill".

Encik Starmer mempertahankan keputusannya untuk menyekat akses awal ke pangkalan, dan kemudian menyertai operasi "pertahanan" terhadap Iran, selepas Tehran bertindak balas dengan menyerang negara-negara jirannya.

"Hubungan istimewa itu masih dijalinkan sekarang," kata Encik Starmer. "Kami sedang bekerjasama di rantau tersebut. Amerika dan Britain bekerjasama untuk melindungi Amerika dan Britain di pangkalan bersama, tempat kami bertempat bersama dan berkongsi risikan secara 24/7 seperti sediakala."

Selain kecaman daripada Presiden Trump, Encik Starmer juga berdepan kritikan daripada pemimpin Reform UK Nigel Farage, penyokongsayap kanan Presiden Trump, yang menuduh perdana menteri itu ragu-ragu.

"Apa yang telah dilakukan oleh Keir Starmer dalam mengasingkan pentadbiran Amerika bukan sahaja mempertaruhkan hubungan itu secara peribadi, tetapi secara terus terang mempertaruhkan hubungan dengan negara yang tanpanya kita tidak berdaya," katanya kepada Reuters pada hari Khamis.

Britain, seperti negara-negara Eropah lain, sedang mencari jalan untuk membawa pulang rakyatnya yang terkandas di Timur Tengah akibat konflik yang menutup beberapa lapangan terbang paling sibuk di dunia.
Sumber : Agensi berita/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita