Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Britain akan gesa sekatan ke atas Taliban semasa rundingan G7

Britain merancang untuk menggesa para pemimpin dunia supaya menimbangkan sekatan baru ke atas Taliban semasa para pemimpin negara-negara G7 bersidang esok (24 Ogos) untuk membincangkan krisis di Afghanistan, menurut sumber-sumber kepada Reuters.

Anggaran Waktu Membaca:
Britain akan gesa sekatan ke atas Taliban semasa rundingan G7

Penunjuk perasaan di tengah London pada 21 Ogos 21 bentang bendera besar Afghanistan sambil tunjukkan sokongan kepada rakyat negara itu (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 23 Aug 2021 10:12AM Dikemas Kini : 23 Aug 2021 10:26AM

LONDON: Britain merancang untuk menggesa para pemimpin dunia supaya menimbangkan sekatan baru ke atas Taliban semasa para pemimpin negara-negara G7 bersidang esok (24 Ogos) untuk membincangkan krisis di Afghanistan, menurut sumber-sumber kepada Reuters.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, yang kini memimpin kumpulan yang terdiri daripada Amerika Syarikat, Itali, Perancis, Jerman, Jepun dan Kanada pada Ahad (22 Ogos) meminta supaya persidangan maya itu diadakan setelah Taliban dengan pantas mengambil alih Afghanistan.

Britain percaya G7 harus mempertimbangkan sekatan ekonomi dan menghalang bantuan jika Taliban melakukan pencabulan hak asasi manusia dan membiarkan wilayahnya dijadikan tempat perlindungan militan, menurut seorang pegawai pemerintah Britain, yang enggan didedahkan namanya, dan seorang lagi diplomat negara Barat.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden memberitahu para wartawan pada Ahad bahawa Taliban setakat ini belum mengambil sebarang tindakan ke atas pasukan AS yang mengawal lapangan terbang Kabul dan rata-rata menunaikan janji mereka untuk membolehkan warga Amerika selamat sampai ke lapangan terbang.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menyokong gesaan Britain untuk melakukan sekatan jika Taliban melakukan pencabulan hak asasi manusia, Presiden Biden berkata, "Jawapannya adalah ya. Itu bergantung pada tindakan mereka."

"ELAKKAN KRISIS KEMANUSIAAN": PM JOHNSON

Militan Taliban menguasai Kabul hujung minggu lalu dalam pergolakan yang menyebabkan orang awam dan sekutu tentera Afghanistan lari menyelamatkan diri. Ramai yang bimbang negara itu kembali kepada undang-undang Islam yang ketat seperti yang dilaksanakan semasa pemerintahan Taliban sebelum ini, yang berakhir 20 tahun yang lalu.

"Sangat penting untuk masyarakat antarabangsa bekerjasama memastikan pemindahan yang selamat, elakkan krisis kemanusiaan dan menyokong rakyat Afghanistan untuk mengekalkan kemajuan yang diraih dalam 20 tahun lalu," tegas Encik Johnson di akaun Twitter pada Ahad.

Sekatan-sekatan ke atas Taliban tidak mungkin dilaksanakan pada kadar segera, kata seorang diplomat Barat. Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab pada minggu lalu pertama kali membangkitkan kemungkinan melaksanakan sekatan untuk memberi tekanan ke atas Taliban.

Encik Johnson merancang untuk menggesa Encik Biden agar melanjutkan tarikh akhir 31 Ogos untuk menarik balik pasukan Amerika Syarikat daripada Afghanistan supaya lebih ramai orang dapat dipindahkan, lapor media Britain.

Pada Ahad, Encik Biden mengatakan bahawa tentera Amerika Syarikat sedang membincangkan kemungkinan untuk melanjutkan tarikh akhir, tetapi berharap langkah itu tidak akan diperlukan.

Awal hari Ahad, tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa pihaknya sudah memerintahkan pesawat komersial untuk membantu mengangkut orang-orang yang dipindahkan daripada Afghanistan.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan