Skip to main content

Dunia

BRICS tolak langkah sepihak ubah status Baitulmakdis, gesa tentera Israel berundur dari Lubnan

Anggaran Waktu Membaca:
BRICS tolak langkah sepihak ubah status Baitulmakdis, gesa tentera Israel berundur dari Lubnan

Pemimpin BRICS menggesa agar kesucian semua tempat suci di bandar itu dihormati dan akses ke tempat-tempat berkenaan diberikan. (Gambar fail/Reuters)

Diterbitkan : 13 Sep 2026 09:00AM
NEW DELHI: Negara-negara BRICS menolak sebarang langkah sepihak yang bertujuan mengubah status undang-undang dan sejarah Baitulmakdis yang diduduki, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh para pemimpin kumpulan itu pada Sabtu (12 Sep), lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Kami menolak sebarang langkah sepihak yang bertujuan mengubah status undang-undang dan sejarah Baitulmakdis yang diduduki,” menurut dokumen itu.

Para pemimpin berkenaan turut menggesa agar kesucian semua tempat suci di bandar itu dihormati dan akses ke tempat-tempat berkenaan diberikan.

Selain itu, mereka menggesa pihak-pihak berkenaan supaya “memastikan gencatan senjata dikekalkan serta akses kemanusiaan penuh dan tanpa halangan di Carikan Gaza”.

Menurut kenyataan itu, penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai menerusi cara aman dan bergantung kepada usaha merealisasikan hak sah rakyat Palestin.

“Kami menegaskan peri perlunya bagi perwakilan Palestin yang sewajarnya dalam semua pertubuhan antarabangsa berkaitan, termasuk institusi kewangan pelbagai hala, serta akses kepada sumber institusi berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Related article image
Pemimpin BRICS mengecam pencabulan berterusan terhadap gencatan senjata serta kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan. (Gambar fail: Reuters)

Para pemimpin BRICS juga mengecam pencabulan kedaulatan Lubnan dan menggesa Israel agar mengundurkan tenteranya dari wilayah Lubnan yang diduduki, selain menegaskan semula komitmen mereka terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Syria.

“Kami mengecam pencabulan berterusan terhadap gencatan senjata serta kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan. Kami menggesa Israel agar menghormati syarat yang dipersetujui dengan pemerintah Lubnan dan mengundurkan tenteranya dari semua wilayah Lubnan yang masih diduduki,” menurut kenyataan bersama itu.

Para pemimpin BRICS turut menyuarakan “komitmen terhadap kedaulatan, kemerdekaan, perpaduan dan keutuhan wilayah Syria”.

“Kami menggesa Syria supaya menentang dengan tegas segala bentuk keganasan dan ekstremisme serta mengambil tindakan konkrit bagi menangani kebimbangan masyarakat antarabangsa mengenai pengganasan. Kami seterusnya menegaskan semula keperluan untuk mengundurkan tentera pendudukan dari Syria,” menurut kenyataan itu.

Sidang Puncak BRICS ke-18 berlangsung dari 12-13 September di New Delhi.

Sumber : Bernama/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita