Skip to main content

Dunia

BRICS tegaskan komitmen dagangan adil, pembaharuan IMF dan kerjasama kewangan

Anggaran Waktu Membaca:
BRICS tegaskan komitmen dagangan adil, pembaharuan IMF dan kerjasama kewangan

Sidang puncak BRICS di Rio de Janeiro, Brazil pada 6 Julai, 2025. (Gambar: Pablo PORCIUNCULA / AFP)

Diterbitkan : 07 Jul 2025 10:20AM Dikemas Kini : 07 Jul 2025 10:29AM
KUALA LUMPUR: Kumpulan BRICS menyatakan pendirian tegas dalam mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala berlandaskan peraturan serta menolak langkah perlindungan sebelah pihak yang menghukum, diskriminasi serta bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan dilaksanakan atas alasan kebimbangan alam sekitar.

Blok yang turut disertai lima anggota pengasasnya iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, juga menggesa pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa serta keadilan lebih ketara dalam perdagangan global.

“Dalam bidang kewangan, kami mengulangi penegasan terhadap keperluan untuk meningkatkan kuota negara-negara pesat membangun dan sedang membangun dalam Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selain penyertaan kelompok itu sebagai pihak yang mempunyai kepentingan dalam Bank Dunia,” menurut blok itu dalam halaman ke-31 Deklarasi BRICS ke-17 Rio De Janeiro di Brazil.

Deklarasi bersempena Sidang Puncak BRICS yang bertemakan “Memperkukuh Kerjasama Selatan Global bagi Tadbir Urus Lebih Inklusif dan Mampan” itu turut mengetengahkan rangkuman pencapaian yang diraih sepanjang tempoh Brazil selaku Presiden BRICS bagi 2025.

“Kami menyokong (usaha) memperdalam dialog mengenai penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan serta kebolehoperasian sistem pembayaran negara-negara BRICS,” menurutnya.

Atas sebab itu, BRICS memulakan perbincangan bagi mewujudkan inisiatif Jaminan Pelbagai Hala (BMG) dan “bagi meningkatkan keupayaan berkaitan isu insurans semula.”

Dalam pada itu, BRICS turut memperakui kepentingan Kecerdasan Buatan (AI) yang disifatkan sebagai peluang bermakna dalam usaha meningkatkan pembangunan ke arah masa depan lebih makmur.

"Bagi mencapai matlamat berkenaan, kami menegaskan bahawa tadbir urus global AI perlu mampu menangani potensi risiko serta keperluan semua negara, termasuk negara-negara dari Selatan Global," katanya.

Berikutan itu, BRICS berkata usaha kolektif global diperlukan bagi mewujudkan tadbir urus AI yang berteraskan nilai bersama, menangani risiko, membina kepercayaan serta memastikan kerjasama dan akses antarabangsa yang luas dan inklusif atau terangkum.

Pelaksanaan semua aspek itu perlu selaras dengan kedaulatan undang-undang setiap negara, termasuk usaha memperkukuh keupayaan negara sedang membangun dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai terasnya.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita