Brazil gantung wadah media sosial X
(Gambar hiasan: iStock)
MEXICO CITY: Seorang hakim Mahkamah Agung Brazil memerintahkan untuk menggantung penggunaan platform media sosial X di seluruh negara itu, lapor Agensi Anadolu (AA) pada Jumaat (30 Ogos).
Tindakan tegas itu dibuat di tengah-tengah dakwaan bahawa X yang dimiliki oleh hartawan Elon Musk berulang kali gagal mematuhi perintah mahkamah dan peraturan di Brazil.
Dalam satu kenyataan, Hakim Alexandre de Moraes berkata: "Kegagalan mematuhi perintah mahkamah secara berulang, sedar, dan sengaja serta kegagalan mematuhi denda harian, ditambah pula dengan percubaan untuk mengelak daripada sistem perundangan dan badan kehakiman Brazil, telah membawa kepada penciptaan persekitaran bebas daripada hukuman dan 'tanah tanpa undang-undang' di rangkaian sosial Brazil."
Mahkamah turut menyuarakan kebimbangan bahawa platform itu telah menjadi wadah untuk menyebarkan retorik kebencian dan perkauman, sekali gus menjejaskan proses demokrasi negara tersebut.
Pada 28 Ogos, Hakim Moraes memberi tempoh 24 jam kepada Encik Musk untuk melantik wakil undang-undang di Brazil, memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan khidmat X digantung di negara itu.
Berikutan tekanan undang-undang yang semakin meningkat serta denda daripada badan kehakiman Brazil, Encik Musk menutup pejabat X di negara itu pada minggu lalu.
Mahkamah Agung kini mengarahkan Agensi Telekomunikasi Nasional (Anatel) untuk memutuskan sambungan rangkaian media sosial itu di seluruh negara dalam tempoh 24 jam.
Syarikat-syarikat seperti Apple dan Google diberi tempoh selama lima hari untuk mengeluarkan aplikasi X daripada kedai online mereka.
Encik Musk kemudiannya menggunakan platform X untuk mengkritik Hakim Moraes. Namun, beliau belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung denda dan siasatan terkini daripada badan kehakiman Brazil.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.