Bot terdampar di Tanjung Langsat, tiga pekerja asing ditemukan lemas
Tiga pekerja asing ditemukan lemas selepas bot yang mereka naiki dipercayai hanyut dan terdampar di Pantai Tanjung Langsat, Pasir Gudang, semalam (25 Feb).

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Bantuan Tanjung Langsat Port. (Gambar: Facebook/Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor)
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata insiden itu mula disedari apabila tiga pekerja sebuah syarikat dari Felda Semenchu, Kota Tinggi itu dikatakan tidak pulang selepas menaiki bot fiberglass menuju ke Bandar Masai, kira-kira pukul 11.18 malam pada Isnin.
Bagaimanapun, beliau berkata kehilangan mereka disedari selepas bot itu ditemukan tersadai di pantai berkenaan oleh nelayan tempatan yang kemudian membuat laporan polis.
"Singapore Police Coast Guard (SPCG) pula mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki warga Nepal dikenali sebagai Suklal di perairan Changi, Singapura pada pukul 12.19 tengah malam, Selasa.
"Susulan itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.53 pagi semalam sebelum menghantar Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang ke lokasi kejadian," kata Encik Sarhan dalam kenyataan yang dibuat malam tadi.
Beliau turut mengatakan bahawa operasi mencari dan menyelamat dilakukan di sekitar kawasan Kebayan Tanjung Langsat dan jeti berdekatan.
"Mayat lelaki warga Nepal Ghalam Ram Bahadur dijumpai oleh SPCG di Pulau Tekong, Singapura pada 11 pagi manakala lelaki warga Indonesia Aprisius Bria Nahak pula ditemukan oleh Polis Bantuan Tanjung Langsat Port, kira-kira 50 meter dari Jeti Port Park Tanjung Langsat pada 3.34 petang semalam," katanya.
Beliau juga berkata operasi yang melibatkan 14 anggota bomba, lima anggota PDRM dan dua Polis Bantuan Tanjung Langsat Port itu ditamatkan pada pukul 5.24 petang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.