Bot dengan lebih 100 pelarian Rohingya ditemui di perairan Indonesia
Sebuah bot yang membawa lebih 100 pelarian Rohingya ditemui di daerah Aceh Selatan, Indonesia, menurut pihak berkuasa tempatan pada Sabtu (19 Okt).
Gambar fail.
Sekurang-kurangnya satu mayat ditemui di atas bot berkenaan.
Bot itu berlabuh sekitar lima hingga enam kilometer daripada kawasan pantai daerah Aceh Selatan dengan enjinnya dimatikan.
Menurut Ketua Masyarakat Muhammad Jabal, bot itu pertama kali dilihat pada Jumaat (18 Okt) apabila beliau dan beberapa individu lain menghantar bekalan makanan dan minuman kepada golongan pelarian itu.
"Saya lihat dengan mata saya sendiri terdapat ramai orang. Terdapat ramai kanak-kanak di atas bot itu," kata Encik Jabat.
Sehari sebelum bot itu ditemui, mayat seorang wanita Rohingya ditemui di laut.
Ketua polis tempatan Sabda Man Sobri mengesahkan bahawa beliau adalah anggota kumpulan etnik itu, namun beliau tidak dapat memberikan komen sama ada wanita itu mempunyai kaitan dengan bot berkenaan.
Jurucakap bagi daerah Aceh Selatan, Yuhelmi mengesahkan penemuan bot itu, namun berkata para penduduk tempatan sedang menunggu ketibaan pasukan imigresen dari Banda Aceh sebelum memutuskan langkah selanjutnya bagi golongan pelarian itu.
"Sama ada (pelarian) itu akan dibawa ke darat, ia berada dalam bidang kuasa imigresen. Buat masa ini, tiada keputusan telah dibuat," kata Yuhelmi.
Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNHCR menyatakan ia telah dimaklumkan mengenai penemuan bot itu dan menzahirkan harapan agar para pelarian berkenaan dapat diselamatkan dengan segera.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.