Bot bawa bantuan ke Gaza tiba di Pelabuhan Ashdod selepas dipintas tentera Israel
Sebuah bot membawa bantuan ke Gaza tiba di Pelabuhan Ashdod di Israel pada Isnin (9 Jun) selepas ia dipintas tentera Israel, sekali gus menghalang berpuluh-puluh aktivis di atas kapal itu termasuk aktivis dari Sweden, Greta Thungberg daripada memasuki wilayah Palestin yang dikenakan sekatan.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan kru kapal layar "Madleen" yang berdaftar di Britain yang menuju ke Gaza mengangkat tangan ketika cahaya terang memasuki kapal, berdasarkan petikan layar daripada video yang dikeluarkan pada 9 Jun 2025. (Gambar:Freedom Flotilla Coalition/Handout melalui REUTERS)
Seorang jurugambar AFP berkata bot Madleen, yang menurut para penganjur telah dipintas di kawasan perairan antarabangsa pada malam sebelumnya, tiba di pelabuhan utara Gaza pada kira-kira pukul 8.45 malam waktu tempatan, diiringi oleh tentera laut Israel.
Bot Madleen berlepas dari Itali pada 1 Jun untuk meningkatkan kesedaran mengenai kekurangan bekalan makanan di Carikan Gaza, yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai "tempat paling kelaparan di dunia".
Menyusuli perang lebih 20 bulan yang tercetus akibat serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, PBB memberi amaran bahawa seluruh penduduk Gaza kini berdepan risiko kebuluran.
Sekitar pukul 4.02 pagi Isnin, tentera Israel "memintas secara paksa" kapal tersebut ketika ia menghampiri Gaza, menurut kenyataan Freedom Flotilla Coalition (FFC).
"Jika anda menonton video ini, ini bermakna telah dipintas dan diculik," kata Cik Thunberg dalam satu rakaman video awal yang dikongsi FFC.
Rakaman video kumpulan berkenaan menunjukkan para aktivis mengangkat tangan ketika tentera Israel menaiki kapal tersebut, dengan salah seorang daripada mereka menyatakan tiada sesiapa yang cedera sebelum pemintasan berlaku.
Dalam satu catatan di media sosial, Kementerian Luar Israel berkata "semua penumpang 'kapal selfie' itu selamat dan tidak cedera", sambil menambah bahawa mereka menjangkakan para aktivis tersebut akan pulang ke negara masing-masing.
Turki mengecam pemintasan itu sebagai satu "serangan kejam" manakala Iran menyifatkannya sebagai "satu bentuk aktiviti lanun" di perairan antarabangsa.
Pada Mei lalu, sebuah lagi kapal Freedom Flotilla yang dinamakan Conscience dilaporkan diserang dron dalam satu kejadian di mana Israel dipersalahkan.
Pada Ahad, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata sekatan laut yang telah lama dilaksanakan sebelum tercetusnya perang Israel-Hamas adalah penting bagi menghalang kumpulan militan Palestin daripada mengimport senjata.
WARTAWAN DI ATAS KAPAL
Berdasarkan koordinat yang dikongsi koalisi berkenaan, kapal Madleen telah dipintas kira-kira 185 kilometer barat pantai Gaza.
Presiden Perancis Emmanuel Macron memohon agar enam warga Perancis yang berada di atas kapal tersebut "dibenarkan pulang ke Perancis secepat mungkin", menurut seorang pegawai presiden.
Dua daripada mereka adalah wartawan, Omar Fayyad dari saluran Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar dan Yanis Mhamdi yang bekerja untuk penerbitan online Blast, menurut kumpulan hak media Reporters Without Borders (RSF), yang mengecam penahanan mereka dan menuntut agar mereka "dibebaskan dengan segera".
Dalam satu kenyataan, Al Jazeera menyatakan ia "mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan Israel", sambil menuntut agar wartawannya dibebaskan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.