Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Bossku' Najib bukan penentu sokongan undi pilihan raya kecil Semenyih

Imej ‘Bossku’ yang ditonjolkan mantan Perdana Menteri Najib Razak di media sosial disifatkan sekadar hiburan semata-mata dan belum tentu mampu ‘mencuri’ undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac.

Anggaran Waktu Membaca:
'Bossku' Najib bukan penentu sokongan undi pilihan raya kecil Semenyih

Mantan Perdana Menteri Najib Razak. (Gambar: Najib Razak/Facebook)

Diterbitkan : 14 Feb 2019 08:43PM Dikemas Kini : 14 Feb 2019 08:48PM

SHAH ALAM: Imej ‘Bossku’ yang ditonjolkan mantan Perdana Menteri Najib Razak di media sosial disifatkan sekadar hiburan semata-mata dan belum tentu mampu ‘mencuri’ undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Dr Mohammad Redzuan Othman berpendapat, walaupun rakyat dilihat bergambar dengan Encik Najib pada program anjuran BN di kawasan DUN berkenaan, namun ia bukan penentu kepada sokongan undi mereka.

“Ia (imej Bossku) sekadar untuk media sosial sahaja, hiburan, belum tentu diterjemah kepada undi. (Program) Bossku yang datang (adalah) mat rempit. (Mereka) daftar mengundi ke tidak?

“Pada saya, biasalah. Individu kalau popular, orang akan jumpa nak tangkap gambar sahaja. Bukan mereka sokong pun, hanya nak masukkan ke dalam Facebook sahaja,” kata Dr Mohammad Redzuan kepada media selepas membentangkan hasil Kajian Tinjauan Lapangan IDE ‘PRK N24 DUN Semenyih: Apa pilihan pengundi’ hari ini (14 Feb).

Ditanya sama ada BN perlu ‘berhati-hati’ daripada menonjolkan Encik Najib semasa berkempen nanti, Dr Mohammad Redzuan yakin kepimpinan parti itu lebih mengetahui bahawa penampilan bekas presiden mereka tidak akan meraih undi rakyat di Semenyih.

Tambah beliau, anggota dan penyokong BN khususnya UMNO juga sedar bahawa usaha untuk ‘memulihkan’ semula parti itu harus dimulakan dengan membawa imej baru.

“Kalau kita baca komen Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hassan, beliau cuba nak elakkan hubungan parti itu dengan kepimpinan lalu seperti Najib dan Dr Ahmad Zahid Hamidi (presiden). Beliau sedang berusaha nak tunjuk brand (pembaharuan) dia dalam parti.

“Kalau panggil Najib (berkempen) ia seperti kembali kepada imej lama. Sama seperti di PRK Parlimen Cameron Highlands, walaupun Najib datang tapi beliau tidak mendominasi kempen, cuma untuk popular di media sosial saja,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac ini sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Semenyih, manakala Sabtu (16 Feb) untuk hari penamaan calon dan tarikh mengundi awal pada 26 Feb.

PRK itu adalah yang keenam diadakan selepas tiga PRK di Selangor iaitu DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong disusuli dengan PRK Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan dan PRK Parlimen Cameron Highlands, Pahang.

PRK DUN Semenyih diadakan menyusuli kematian penyandang kerusi tersebut, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu, Allahyarham Bakhtiar memperoleh 23,428 undi mengalahkan penyandangnya daripada BN, Encik Johan Abdul Aziz (14,464); calon PAS, Encik Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966) dan Encik S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (1,293). 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan