Bongkah ais Greenland mencair, cetus risiko banjir di merata dunia: Kajian
Sebanyak 3.5 trilion tan bongkah ais di Greenland yang mencair sejak sejak sedekad lalu menyebabkan paras air laut dunia naik sebanyak satu sentimeter, sekali gus meningkatkan risiko banjir di seluruh dunia.
Bongkah ais berhampiran Upernavik, Greenland, pada 7 Sep 2021. (Gambar: AFP)
PARIS: Sebanyak 3.5 trilion tan bongkah ais di Greenland yang mencair sejak sejak sedekad lalu menyebabkan paras air laut dunia naik sebanyak satu sentimeter, sekali gus meningkatkan risiko banjir di seluruh dunia.
Demikian menurut satu kajian baru pada Isnin (1 Nov) menerusi jurnal Nature Communication.
Kumpulan pengkajinya berkata, lapisan air di pulau terbesar dunia itu mengandungi cukup air beku untuk menaikkan paras air laut sehingga enam meter di merata dunia dengan pergerakan ais yang mencair meningkat 21 peratus sejak empat dekad lalu.
Data yang disediakan oleh Agensi Angkasa Eropah (ESA) itu turut menunjukkan sebanyak 3.5 trilion tan ais mencair sejak 2011, dan dapat menghasilkan air yang mencukupi bagi menaikkan paras lautan di seluruh dunia dan meletakkan masyarakat tepi pantai kepada risiko kejadian banjir yang lebih tinggi.
Bahkan menurut kajian itu, satu pertiga daripada ais yang mencair dalam dekad lalu berlaku pada dua musim panas iaitu pada 2012 dan 2019.
Sebagai contoh, pada 2012, perubahan pada corak atmosfera menyebabkan udara panas luar biasa berlegar di atas lapisan ais selama berminggu-minggu, menyebabkan 527 bilion tan ais mencair.
"Sebagaimana kita dilihat di bahagian lain dunia, Greenland turut terdedah kepada peningkatan kejadian cuaca ekstrim," kata pengarang utama kajian itu dari Pusat Pemerhatian dan Pemodelan Polar, Universiti Leeds, Thomas Slater.
"Apabila iklim menjadi semakin panas, adalah munasabah untuk menjangkakan kejadian yang mana pencairan ais melampau berlaku di Greenland secara lebih kerap."
Penggunaan data satelit juga membolehkan kumpulan pengarang membuat anggaran cepat dan tepat berhubung pencairan ais di Greenland bagi tahun-tahun tertentu dan menukarkannya kepada kenaikan paras laut yang setara.
"Anggaran model yang digunakan menunjukkan lapisan ais Greenland akan menyumbang kepada kenaikan antara 3-23 sentimeter paras air laut sedunia menjelang 2100, kata pengarang bersama penyelidikan itu dari Universiti Lancaster, Britain, Amber Leeson.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.