Bomoh dipenjara, cabul mangsa ketika 'halau makhluk halus'
Seorang pengamal perubatan tradisional dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan mencabul seorang wanita.
(Gambar fail: Jeremy Long)
KUALA LUMPUR: Seorang pengamal perubatan tradisional dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan mencabul seorang wanita.
Astro Awani melaporkan bahawa keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh, Abdullah Muda, 61, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencabul mangsa berusia 39 tahun di kedai di Chabang Tiga di Kuala Lumpur kira-kira jam 4.00 petang pada 30 Oktober 2016.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Hisham Nazir, menurut Astro Awani.
Astro Awani menambah, media tempatan sebelum ini melaporkan seorang wanita mendakwa dicabul seorang lelaki ketika mendapatkan rawatan mengeluarkan gangguan makhluk halus.
Tertuduh dari Marang itu dikatakan meraba mangsa ketika menjalankan rawatan ke atasnya.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di kedai miliknya sebelum didatangi tertuduh yang memaklumkan mahu memandikan mangsa menggunakan daun bidara sebagai susulan rawatan yang pernah dibuatnya sebelum itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.