Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Bomba cilik´penghidap barah otak meninggal dunia

‘Bomba cilik’ penghidap barah otak, Ahmad Danial Ahmad Suhairi, yang pernah menarik perhatian ramai apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunaikan impiannya untuk menjadi anggota bomba, Oktober lepas, meninggal dunia, awal pagi tadi (25 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
'Bomba cilik´penghidap barah otak meninggal dunia

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 25 Oct 2019 06:34PM Dikemas Kini : 25 Oct 2019 06:38PM

KUANTAN: ‘Bomba cilik’ penghidap barah otak, Ahmad Danial Ahmad Suhairi, yang pernah menarik perhatian ramai apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunaikan impiannya untuk menjadi anggota bomba, Oktober lepas, meninggal dunia, awal pagi tadi (25 Okt).

Bapanya, Encik Ahmad Suhairi Ali, 33 tahun, berkata Ahmad Danial, 7 tahun, disahkan meninggal dunia pada 4.20 pagi di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Indera Mahkota selepas didapati tidak sedarkan diri.

“Masa saya balik dari tempat kerja dalam pukul 12.00 tengah malam, Danial kelihatan biasa. Dia baru sahaja termuntah dan saya cuba sedut kahak dan ubah kedudukannya tetapi perasan Danial diam tak bernafas.

“Kami cuba bagi bantuan pernafasan (CPR) tetapi masih tiada reaksi sebelum bergegas membawa Danial ke hospital dan pihak hospital kemudian mengesahkan Danial sudah meninggal dunia dalam perjalanan,” katanya.

Encik Ahmad Suhairi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengebumian jenazah Ahmad Danial selesai pada pukul 10.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Beserah.

“Saya reda dan bersyukur kerana dapat menunaikan hajat Danial dan saya juga berterima kasih dengan pihak terlibat yang membantu menunaikan hajat Danial untuk menjadi anggota bomba,” katanya.

Pada 5 Okt lalu, JBPM Pahang menunaikan impian kanak-kanak itu untuk menjadi anggota bomba dalam Program Untukmu Danial: Potret Seorang Pejuang, di Masjid Beserah.

Pada program itu, Ahmad Danial mengenakan pakaian seragam anggota bomba lengkap dengan tanda nama, topi, kasut but dan beg serta dibawa mengelilingi kawasan sekitar Beserah menaiki jentera bomba yang dipandu sendiri oleh Pengarah JBPM Pahang, Encik Nor Hisham Mohammad.

Ahmad Danial, anak sulung daripada tiga beradik disahkan menghidap barah otak jenis Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG) pada tahap empat yang dikesan pada Mac lepas.

Tahap kesihatan Ahmad Danial merosot dengan cepat dan hanya terlantar serta tidak lagi mampu memberi respons fizikal sejak Mei lepas dan diisytiharkan berada dalam keadaan paliatif.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan