Skip to main content

Dunia

Bomba akan guna helikopter padam kebakaran tanah gambut di Kota Tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Bomba akan guna helikopter padam kebakaran tanah gambut di Kota Tinggi
Anggota dari BBP Punggai giat menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran tanah gambut di Kota Tinggi. (Gambar: BERNAMA)
Diterbitkan : 27 Jan 2026 10:04AM Dikemas Kini : 28 Jan 2026 11:01PM
KOTA TINGGI: Teknik pengeboman air menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dijangka digunakan bagi memadam kebakaran tanah gambut seluas lebih 12 hektar di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai pada Selasa (27 Jan).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata keadaan ketika ini belum terkawal akibat cuaca kering dan angin kuat dengan asap tebal menyelubungi kawasan perumahan berkenaan.

“Struktur tanah gambut dan keadaan jalan juga menyukarkan operasi. Oleh itu, bantuan helikopter JBPM akan digunakan,” katanya kepada Bernama pada Isnin (26 Jan).

Sehingga kini, 52 mangsa daripada 17 keluarga sudah dipindahkan ke pusat transit sementara di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai.

Beliau berkata pemindahan mangsa dibuat sebagai langkah keselamatan berikutan kawasan berkenaan diselubungi asap tebal. 

"Pada masa sama, kita menasihatkan orang ramai agar memakai pelitup muka dan patuh sekiranya diarah berpindah selain mendapatkan rawatan segera jika mengalami masalah pernafasan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kebakaran tanah gambut di Punggai merebak daripada 5.26 hektar kepada 12.14 hektar susulan cuaca kering dan berangin, sekali gus membawa asap tebal ke kawasan perumahan.

Bomba sebelum ini memaklumkan pemadaman tidak dapat dilaksanakan di sektor A berikutan punca air yang jauh serta sumber air terbuka yang terhad, selain kesemua anggota tertumpu di sektor B kerana angin yang agak kuat dan perebakan yang lebih aktif di kawasan itu.

Tiupan angin dari arah utara yang berterusan menyebabkan muncul nyalaan baharu di beberapa kawasan, selain asap tebal yang merebak ke kawasan perumahan.

Pada 18 Januari lalu, bomba melaporkan berlaku kebakaran di kawasan berhampiran lokasi kejadian membabitkan kebun seluas 2.83 hektar di Jalan Punggai-Taman Bayu Damai di sini dengan cuaca panas serta berangin mengakibatkan api marak serta menyukarkan operasi pemadaman yang mengambil masa empat hari. 
Sumber : Bernama/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita