Skip to main content

Dunia

Bom perang dunia kedua ditemui di Jerman

Anggaran Waktu Membaca:
Bom perang dunia kedua ditemui di Jerman

Penghadang dipasang di sekeliling salah satu daripada tiga bom tinggalan Perang Dunia Kedua yang bakal dinyah aktif di Cologne pada 3 Jun, 2025. (Gambar fail: AP)

Diterbitkan : 01 Jul 2025 10:24PM Dikemas Kini : 01 Jul 2025 10:25PM
HANOVER: Bandar Osnabruck di barat laut Jerman sekali lagi berdepan pemindahan besar-besaran akibat penemuan bom dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bandar itu menerusi notis singkat pada Isnin malam mengumumkan bahawa bahan letupan jenis Unexploded Ordnance (UXO) itu akan dinyahaktifkan pada Selasa (1 Jul), menyebabkan hampir 20,000 penduduk perlu meninggalkan kawasan pemindahan selewat-lewatnya pada pukul 3.00 petang.

Stesen kereta api utama, Hospital St Mary dan Hospital Kanak-Kanak Kristian terletak di kawasan itu.

Menurut laporan, bom UXO itu ditemui semasa pemantauan kerja pembinaan di daerah Lokviertel di bandar itu. Sebuah pusat pemindahan dijangka dibuka pada sebelah petang di sebuah sekolah tempatan.

Ini bukan kali pertama operasi pelupusan bom sudah dijalankan di daerah Lokviertel. Dua minggu lepas, sebutir bom seberat 500 kilogram dari Perang Dunia Kedua sudah dinyahaktifkan di kawasan itu.

Ketika itu, 11,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka dan berlaku gangguan pada khidmat kereta api.

Pada November, Februari dan April, bom UXO dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua yang belum meletup turut dinyahaktif di Lokviertel. Sebuah daerah baharu akan dibangunkan di tapak bekas stesen kargo bandar itu, dan kerja pembinaan sering menemukan bom lama.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita