Bom meletup dekat hotel di mana Macron menginap semasa lawatan ke Syria
Asap dan kebakaran di tapak berdekatan sebuah hotel di mana Presiden Perancis Emmanuel Macron menginap, di Damsyik, Syria, o-7 Jul 2026. (Gambar: Reuters/Yamam Al Shaar)
Bagaimanapun, pihak Istana Elysee menyatakan Presiden Perancis itu tidak mendengar letupan berkenaan, dan beliau bertemu dengan Presiden Syria Ahmed al-Sharaa sejurus selepas itu.
Letupan tersebut memperlihatkan cabaran keselamatan yang besar di Syria.
Encik Macron merupakan ketua negara pertama dari negara Kesatuan Eropah (EU) yang melawat Syria sejak kumpulan penentang yang dipimpin oleh Encik Ahmad menggulingkan Bashar al-Assad pada tahun 2024.
Seorang saksi Reuters mendengar bunyi letupan di kawasan berhampiran dan melihat asap berkepul naik. Jalan-jalan raya telah ditutup dan langkah-langkah keselamatan segera dilaksanakan, kata sumber keselamatan tersebut.
Pihak Istana Elysee menyatakan letupan itu tidak kedengaran daripada kenderaan rasmi presiden.
Seorang wartawan Reuters yang berada dalam kumpulan media yang mengiringi Encik Macron juga tidak mendengar letupan itu atau melihat sebarang kekecohan semasa acara sebelah pagi Presiden Perancis itu.
Televisyen rasmi pemerintah kemudiannya melaporkan bahawa Encik Macron dan Encik Ahmad bertemu di Istana Presiden Syria.
Lawatan Encik Macron ini menonjolkan transformasi geopolitik Syria di bawah pentadbiran Encik Ahmad, seorang bekas komander al-Qaeda yang kini menjalinkan hubungan rapat dengan kuasa-kuasa Barat dan Timur Tengah yang sebelum ini memulaukan Encik Bashar.
Langkah ini diambil sedang beliau berusaha untuk membina semula negara yang hancur akibat perang selama 13 tahun.
Semasa konflik Syria berlaku, pelbagai kumpulan militan termasuk kumpulan IS berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di negara tersebut.
Encik Ahmad, yang merupakan sebahagian daripada masyarakat majoriti Islam Sunni Syria, berikrar untuk membina sistem baharu yang inklusif di Syria sejak menamatkan pemerintahan kuku besi keluarga Encik Bashar yang berlarutan selama lebih lima dekad.
Namun, ikrar beliau diuji oleh beberapa siri keganasan yang melibatkan pertempuran antara pasukan pro-pemerintah dengan ahli kumpulan minoriti agama dan etnik, yang mengorbankan ratusan nyawa pada tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.