Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Boleh lawat Jepun tanpa visa & tiada had ketibaan mulai 11 Okt, kata PM Kishida

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: Jepun akan membenarkan pelawat asing masuk ke negaranya tanpa visa dan memansuhkan had ketibaan pada 11 Oktober.

Demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Fumio Kishida pada Khamis (22 Sep) di New York.

Ini sekali gus menandakan peralihan ketara dasar menyusuli pelaksanaan sekatan COVID-19 yang ketat selama hampir dua setengah tahun, lapor Japan Times.

Pada 11 Oktober, pemerintah Jepun juga akan melancarkan program diskaun pelancongan, yang ditunda disebabkan penularan jangkitan COVID-19.

PM Kishida membuat pengumuman, yang begitu lama dinantikan itu, sewaktu lawatannya ke New York bagi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Saya harap ramai orang akan menggunakannya. Saya ingin menyokong industri pelancongan, hiburan dan industri-industri lain yang susah sepanjang pandemik koronavirus," kata PM Kishida dalam satu sidang media.

Jepun membenarkan pelawat asing masuk ke negaranya sejak Jun, bermula dengan mengikut pakej lawatan. Pada 7 September, pemerintah membenarkan pelawat asing yang membuat tempahan penerbangan dan hotel menerusi agensi pelancongan yang diluluskan tanpa diiringi pemandu pelancong.

Namun, langkah-langkah itu tidak disambut baik dengan ramai pelawat asing yang ingin lebih banyak kebebasan sewaktu lawatan mereka ke Jepun. Industri pelancongan sudah lama menggesa pemerintah supaya memansuhkan sekatan untuk merancakkan ekonomi.
Sumber : Agensi berita/NY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan