Boeing 737 MAX bakal hadapi perbicaraan kongres pertama
Syarikat Boeing semakin berada di bawah tekanan sedang para penggubal undang-undang menggesa para eksekutif supaya memberikan keterangan mengenai dua nahas yang melibatkan pesawat 737 MAX.
Indonesia mendedahkan alat perakam suara kokpit Lion Air menunjukkan pesawat malang itu mengalami masalah ketinggian dan had kelajuan di udara. (Gambar-Gambar: Reuters)
WASHINGTON: Syarikat Boeing semakin berada di bawah tekanan sedang para penggubal undang-undang menggesa para eksekutif supaya memberikan keterangan mengenai dua nahas yang melibatkan pesawat 737 MAX.
Ini meskipun syarikat pengeluar pesawat terbesar di dunia itu berusaha untuk menyambung semula operasi pesawat-pesawat berkenaan.
Sebuah panel Dewan Senat merancang untuk menjadualkan satu sesi pendengaran dengan Boeing pada satu tarikh yang belum dimuktamadkan, kata para pegawai.
Ini kali pertama sebuah jawatankuasa kongres Amerika Syarikat memanggil para eksekutif syarikat itu supaya memberikan keterangan mengenai kedua-dua nahas tersebut.
Panel itu juga akan menyoal para pegawai Jabatan Pentadbiran Penerbangan Federal (FAA) Amerika Syarikat pada 27 Mac. Ia kemungkinan mengenai mengapa badan pengawal selia itu bersetuju untuk mengesahkan pesawat-pesawat MAX sesuai bagi penerbangan pada Mac 2017, tanpa memerlukan latihan tambahan.
Nahas Ethiopian Airlines pada 10 Mac, yang mengorbankan semua 157 penumpang dan anak kapal, mencetuskan salah satu siasatan terbesar dalam sejarah penerbangan.
Menurut hasil laporan awal, para penyiasat mengatakan terdapat persamaan yang jelas antara nahas itu dan nahas pesawat Lion Air pada October 2018, yang meragut nyawa semua 189 penumpang dan anak kapal.
Setakat ini, tiada sebarang kaitan muktamad antara kedua-dua nahas itu. Namun, sofwe kawalan penerbangan MCAS dan latihan berkaitan bagi para juruterbang menjadi keutamaan siasatan tersebut.
Sementara itu, lebih banyak perincian didedahkan mengenai saat-saat terakhir pesawat Lion Air sebelum nahas tersebut berlaku.
Menurut laporan-laporan media, para juruterbang cuba merujuk kepada buku panduan bagi memahami mengapa pesawat 737 MAX menjunam ke bawah, beberapa saat sebelum ia terhempas ke dalam laut.
Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) Indonesia bagaimanapun menafikan laporan-laporan media mengenai data alat perakam suara kokpit itu.
Semasa satu sidang media hari ini (21 Mac), para pegawai menerangkan bahawa terdapat percanggahan antara laporan-laporan agensi berita dengan kandungan sebenar alat perakam itu.
Menurut para pegawai KNKT, data daripada alat perakam itu mendedahkan bahawa para juruterbang hilang kawalan pesawat berkenaan pada saat-saat terakhir sebelum berlakunya nahas tersebut.
Mereka menambah bahawa rakaman itu menunjukkan bahawa pesawat tersebut mengalami masalah ketinggian dan had kelajuan di udara.
Bagaimanapun, para pegawai itu berkata mereka tidak akan mendedahkan lebih banyak maklumat kerana undang-undang tempatan melarang penerbitan transkrip alat perakam suara kokpit.
Laporan siasatan terakhir mengenai nahas itu dijangka dikeluarkan pada Ogos ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.