'Bodoh' jika tolak hadiah jet dari Qatar, kata Trump
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin (12 Mei) dengan marah menolak keprihatinan yang disuarakan mengenai rancangannya untuk menerima sebuah jet dari Qatar untuk digunakan sebagai Air Force One dan berkata adalah "bodoh" jika tidak menerima hadiah sedemikian.

Presiden Donald Trump berucap semasa satu acara di Roosevelt Room di Rumah Putih pada 12 Mei 2025 di Washington. (Gambar: AP/Mark Schiefelbein)
Tawaran daripada keluarga diraja Qatar untuk mendermakan pesawat 747-8 bernilai AS$400 juta untuk digunakan sebagai pesawat presiden telah menimbulkan tanda tanya mengenai etika dan keselamatan dan Encik Trump tidak mahu membesar-besarkan perkara tersebut.
"Ia satu hadiah yang hebat," kata hartawan berusia 78 tahun itu kepada para wartawan di Rumah Putih apabila ditanya sama ada negara Teluk yang kaya dengan minyak itu akan mengharapkan apa-apa sebagai ganjaran bagi hadiah tersebut.
"Saya tidak akan menolak tawaran seperti itu. Maksud saya, saya mungkin orang yang bodoh (dan) berkata 'tidak, kami tidak mahu kapal terbang percuma yang sangat mahal.'"
Tawaran Qatar itu diumumkan selepas Encik Trump berulang kali mengadu tentang kelengahan dan lebihan kos dalam kontrak Boeing untuk menyediakan dua jet Air Force One yang baharu bagi menggantikan model lama.
Encik Trump naik berang apabila ditanya sama ada beliau akan menggunakan jet itu untuk kegunaan peribadi selepas beliau melepaskan jawatan presiden.
"Anda sepatutnya malu bertanya soalan itu," kata Encik Trump kepada para wartawan. "Mereka memberi jet percuma. Saya boleh katakan, tidak, tidak, tidak, jangan beri kami kerana saya mahu membayar anda AS$1 bilion atau AS$400 juta, atau apa sahaja. Atau saya boleh katakan, terima kasih banyak-banyak."
Encik Trump berkata pesawat itu sebaliknya ia akan didermakan kepada perpustakaan presiden pada masa akan datang sebagai bahan pameran, dengan cara yang sama seperti perpustakaan Ronald Reagan menyimpan jet lama Air Force One.
Qatar tidak mahu menggembar-gemburka perkara itu dengan menyatakan bahawa jet tersebut tidak akan dijadikan sebagai hadiah.
"Kemungkinan pesawat itu digunakan buat sementara sebagai Air Force One kini dalam pertimbangan antara Kementerian Pertahanan Qatar dan Jabatan Pertahanan Amerika," kata Ali Al-Ansari, pegawai media Qatar di Washington.
Rancangan itu bagaimanapun telah menimbulkan persoalan etika kerana Perlembagaan Amerika melarang pegawai pemerintah daripada menerima hadiah "dari mana-mana Raja, Putera atau negara asing."
Ia juga telah menimbulkan keprihatinan terhadap keselamatan mengenai penggunaan pesawat yang didermakan oleh negara asing untuk digunakan sebagai Air Force One yang sangat sensitif. Jet itu direka untuk berfungsi sebagai markas bergerak untuk presiden sekiranya berlaku serangan ke atas Amerika.
Para anggota Democrat telah menyelar rancangan itu.
“Mana-mana presiden yang menerima hadiah seperti ini, bernilai AS$400 juta, daripada pemerintah asing mewujudkan konflik kepentingan yang jelas,” menurut kenyataan empat anggota Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat.
Senator Cory Booker, Brian Schatz, Chris Coons dan Chris Murphy juga "menimbulkan persoalan keselamatan negara yang serius, mengundang pengaruh asing, dan menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap pemerintah kita."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.