Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BNPT fahami langkah S’pura larang Abdul Somad Batubara masuk ke negara ini

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Badan Nasional Penanggulangan Teroris (BNPT) menyatakan larangan pemerintah Singapura terhadap kemasukan pendakwah, Ustaz Abdul Somad Batubara, harus dijadikan pengajaran bagi Indonesia dalam usaha mencegah radikalisme.

Demikian menurut laporan agensi berita tempatan, CNNIndonesia. 

Pengarah Pencegahan BNPT Brigadier Jeneral Ahmad Nurwakhid berkata bahawa tindakan negara jiran Indonesia itu
setakat langkah berwaspada terhadap ancaman kepada keselamatan Singapura.

"Saya melihat ini justeru menjadi pengajaran penting bagi Indonesia untuk juga melakukan langkah-langkah pencegahan proaktif dengan melarang pandangan, pemahaman dan ideologi radikal, yang boleh membawa kepada tindakan keganasan dan kekerasan," kata Brigadier Jeneral Ahmad semasa dihubungi CNNIndonesia pada Rabu (18 Mei). 

"Singapura mengambil langkah proaktif dalam membanteras pengganasan, iaitu pencegahan terhadap risiko berlaku ancaman tindakan yang disebabkan oleh pandangan, doktrin dan ideologi," jelasnya. 

Brigadier Jeneral Ahmad menjelaskan lagi bahawa Singapura mempunyai landasan undang-undang yang dinamakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk melakukan hal itu, lantas dapat melarang sebarang ideologi, pandangan serta pemahaman yang radikal yang boleh mencetuskan tindakan keganasan. 

"Singapura berani mengambil langkah itu kerana sudah jelas ceramah, sikap dan pandangan yang eksklusif dan tidak bertolak ansur itu adalah ciri-ciri asas dari mana timbulnya pemahaman radikal pengganasan disebabkan oleh doktrin al-wala wa bara mahupun takfiri ," tambahnya lagi. 

Oleh sebab itu, terang beliau, BNPT menghargai kebijaksanaan pemerintah Singapura dalam mengambil langkah untuk melarang kemasukan Ustaz Somad. 

Brigadier Jeneral Ahmad menambah pihaknya tidak akan mencampur tangan dalam urusan menafikan kemasukan Ustaz Somad dan rombangannya ke Singapura.

Pada Isnin (16 Mei), Ustaz Somad dilarang masuk dan dihantar pulang semula ke Batam pada hari yang sama. 

Lagi enam orang yang datang bersama Ustaz Somad juga tidak dibenarkan memasuki Singapura. Mereka tiba di Terminal Feri Tanah Merah dan dihantar pulang semula dalam sebuah feri ke Batam pada hari yang sama. 

Dalam kenyataannya pada Selasa, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan Ustaz Somad dikenali dengan ajarannya yang bersifat "pelampau dan pengasingan" yang "tidak boleh diterima dalam masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama". 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan