Skip to main content

Dunia

BNPB lapor kebakaran hutan di Sumatra, Kalimantan hingga Papua Barat

Anggaran Waktu Membaca:
BNPB lapor kebakaran hutan di Sumatra, Kalimantan hingga Papua Barat

Pemerintah mengerahkan 12,880 kakitangan pemerintah dan anggota masyarakat untuk tangani kebakaran hutan di Kalimantan Selatan. (Gambar: ANTARA FOTO/Bayu Pratama S)

Diterbitkan : 04 Sep 2026 11:12PM Dikemas Kini : 04 Sep 2026 11:13PM
  • BNPB melaporkan kebakaran hutan dan tanah aktif di Sumatra, Kalimantan, dan Papua Barat, dengan fokus utama di Kalimantan Barat kerana tanah gambut tebal.
  • Berton Panjaitan menyatakan mutu udara di Kalimantan Barat kini berbahaya, manakala Kalimantan Tengah dan Selatan turut terjejas dengan banyak titik panas.
  • Pasukan petugas menggunakan dron haba dan surfaktan untuk mengesan serta memadam kebakaran, namun operasi hujan buatan tidak dapat dijalankan kerana tiada awan.
  • Pemerintah daerah digesa memperketat larangan membakar tanah dan mematuhi arahan pencegahan kebakaran mengikut Inmendagri Nomor 1 Tahun 2026.
Dijana oleh AI
JAKARTA: Badan Pengurusan Bencana Negara (BNPB) melaporkan titik panas kebakaran hutan dan tanah yang masih aktif hingga kini. Titik kebakaran itu dikesan di beberapa wilayah dari Sumatra dan Kalimantan, hingga Papua Barat.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi, dan Komunikasi Bencana BNPB, Berton Panjaitan, menjelaskan bahawa keadaan di beberapa wilayah sangat kritikal buat masa ini. Antaranya, di Kalimantan Barat di mana mutu udaranya memasuki kategori berbahaya.

"Kami sampaikan perkembangan terkini penanganan kebakaran hutan dan tanah di enam wilayah utama dan satu lagi wilayah iaitu Papua Barat. Perhatian kami terhadap Kalimantan Barat sangat besar kerana tanah gambut yang terbakar sangat tebal," kata Encik Berton di Bangunan BNPB, Jakarta Timur, pada Jumat (4 Sep).

Encik Berton berkata 61 kebakaran dikesan dengan kawasan tanah terbakar mencapai 802 hektar di Kalimantan Barat. Sejauh ini, kebakaran di lebih 432 hektar kawasan berjaya dipadamkan.

"Kami dapati semalam ada 61 kebakaran dengan tapak tanah terbakar seluas 802 lebih hektar. Kebakaran yang berjaya dipadamkan adalah seluas lebih 432 hektar," ucapnya.

Selain itu, beliau menambah bahawa mutu udara di Kalimantan Barat sudah memasuki paras berbahaya dengan jarak penglihatan kurang 1 kilometer.

Kalimantan Tengah menjadi wilayah dengan paling banyak titik panas, iaitu sebanyak 70. Keluasan tanah yang terbakar mencapai 225 hektar dengan kebakaran di 197 hektar sudah dipadamkan.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Berton berkata 56 titik kebakaran ditemui di Kalimantan Selatan, meliputi 305 hektar tapak tanah terbakar. Setakat ini, kebakaran di lebih 112 hektar tapak tanah berjaya dipadamkan.

"Mutu udara (di Kalimantan Selatan) dilaporkan antara sederhana hingga tidak sihat, sementara jarak penglihatan hanya kurang 5 kilometer," jelasnya.

Di wilayah ini, pasukan petugas menggunakan teknologi baru dron haba untuk mengesan kebakaran di bawah permukaan bumi dan menyuntik surfaktan untuk memastikan tanah gambut kekal lembap.

"Operasi mengubah cuaca tidak dapat dilakukan kerana tiada potensi hujan atau sebarang awan di atmosfera," jelas Encik Berton.

Beliau menggesa pemerintah daerah supaya memperketat pelaksanaan arahan Menteri Dalam Negeri (Inmendagri) Nomor 1 Tahun 2026 tentang Pencegahan dan Pengurusan Kebakaran Hutan dan Tanah Serta Larangan Pembersihan Tanah dengan Cara Membakar dalam Keadaan Risiko Kebakaran Hutan dan Tanah.

"Salah satu pesanan yang penting ialah pembersihan tanah dengan cara membakar dilarang. Waspada potensi kebakaran," pesannya.
Sumber : Agensi berita/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita