BN yakin tawan 40 DUN pada PRU15
Menteri Besar Perak Seri Saarani (kanan) menerima kalungan bunga malai daripada Presiden MIC SA Vigneswaran (kiri) ketika hadir pada sambutan perayaan Deepavali Peringkat Negeri Perak pada 25 Oktober 2022. (Gambar: BERNAMA)
SUNGAI SIPUT: Barisan Nasional (BN) Perak menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil, kata Pengerusinya Saarani Mohamad.
Encik Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata BN yakin terhadap sokongan rakyat kepada parti itu setelah mengambil kira faktor penerimaan mereka pada BN yang mahukan perubahan.
“Keyakinan untuk membentuk kerajaan itu tidak mustahil kerana pengundi kini sangat dinamik dan untuk mendapatkan satu kerajaan yang stabil, BN mesti tubuh kerajaan di atas kekuatan parti sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Deepavali peringkat Perak pada Selasa (25 Okt).
DUN Perak mempunyai 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan memerlukan sokongan 40 ADUN bagi mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
DUN Perak sebelum pembubaran pada 17 Okt terdiri daripada 25 ADUN BN, DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS, PKR dan PBM masing-masing tiga manakala Bebas (satu).
Sementara itu, Encik Saarani berkata Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2022 berkaitan Anti Lompat Parti di Perak hanya terpakai untuk Ahli Parlimen sahaja.
"Kita tidak sempat hendak membentangkan RUU terbabit maka ia tidak terpakai di DUN Perak,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.