Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BN yakin peluang besar menang PRN Johor

Anggaran Waktu Membaca:
  BN yakin peluang besar menang PRN Johor

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad. (Gambar: Bernama)

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) negeri khususnya UMNO pada Sabtu (22 Jan) menzahirkan keyakinan mempunyai peluang besar untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Hasni Mohammad berkata pihaknya juga bersedia untuk meletakkan lebih ramai calon berbanding ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Beliau berkata jentera parti seluruh Johor juga bersedia dan turut menunjukkan semangat yang tinggi.

"Peluang UMNO (untuk menang PRN Johor) amat baik sekali, keyakinan kita tinggi dan kita berharap akan dapat bertanding lebih banyak kerusi berbanding PRU-14 lalu," kata beliau kepada wartawan di Bangunan UMNO Johor hari ini. 

Pada PRU ke-14, UMNO bertanding 35 kerusi, MCA (14 kerusi), Gerakan (tiga) manakala MIC (empat) tetapi BN hanya memenangi 19 kerusi menerusi UMNO dengan 17 kerusi manakala MIC dua kerusi. 

Bagaimanapun, kedudukan berubah pada 12 Mei 2018 apabila tiga ADUN UMNO mengumumkan menyertai Bersatu iaitu ADUN Sedili Rasman Ithnain, ADUN Johor Lama Rosleli Jahari dan ADUN Endau Alwiyah Talib.

Ketika ditanya mengenai perbincangan berhubung agihan kerusi antara parti komponen, Encik Hasni yang juga Pengerusi BN Johor berkata perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Selain itu, Encik Hasni yang juga penyandang ADUN Benut berkata pintu kerjasama antara gabungan itu dengan parti lain (PAS dan Bersatu) masih belum tertutup.

"Sebarang kerjasama atau bentuk komposisi parti yang akan bertanding dalam PRN Johor adalah tertakluk kepada keputusan dibuat pucuk pimpinan parti. Negeri akan beri maklum balas berhubung keputusan itu termasuklah berhubung kerjasama antara parti komponen dalam gabungan BN sendiri," katanya. 

Encik Hasni secara berseloroh juga berkata akan kembali bertanding dalam PRN Johor sekiranya dibenarkan presiden parti.

Terdahulu, beliau, yang juga Menteri Besar Johor, mengesahkan pembubaran DUN Johor hari ini dalam sidang media selepas menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene petang tadi. 
 

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan