Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BN tiada perjanjian sulit bersama PH bentuk kerajaan perpaduan, tegas Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak mempunyai perjanjian sulit dengan Pakatan Harapan (PH) dalam soal pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap di hadapan 2,820 perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2022, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata penyertaan bersama PH bagi membentuk kerajaan perpaduan adalah bersandarkan persefahaman awal di peringkat parti bahawa tiada mana-mana gabungan yang boleh membentuk kerajaan.

“Pertamanya, kita telah mengadakan rundingan dengan PH dan Perikatan Nasional (PN) secara berasingan dua hari selepas PRU15 dan kita telah meletakkan beberapa asas utama termasuk dalam soal Islam, Melayu dan Bumiputera, yang perlu disepakati bersama, begitu juga soal pembentukan kabinet.

“Malah dalam cadangan kita, kita menetapkan agar kerajaan yang dibentuk, ia tidak boleh diidentitikan dengan nama parti, sebaliknya mestilah dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan,” katanya pada Jumaat (13 Jan).

Timbalan Perdana Menteri berkata PH dalam maklum balas bertulis menyatakan persetujuan terhadap perkara asas itu manakala PN bersedia menimbangkan perkara yang diusulkan BN. 
 
Selain itu,Encik Ahmad Zahid berkata faktor penyertaan BN bagi membentuk kerajaan perpaduan bersama PH adalah selaras yang dititah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Selain itu, pendirian kita adalah selaras dengan perakuan yang kita berikan kepada Yang di-Pertuan Agong, untuk menerima titah usul baginda (Seri Paduka) supaya diwujudkan Kerajaan Perpaduan.

“Pada masa yang sama, PH juga bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya PN menolak titah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata keputusan yang dibuat adalah secara bersama, aku janji yang ditandatangani calon PRU15 memberi kuasa kepada ketua parti untuk berunding soal penubuhan kerajaan.

Menurut beliau lagi, 54 daripada keseluruhan 56 Ahli Majlis Tertinggi UMNO bersetuju dengan keputusan untuk parti bersama membentuk kerajaan perpaduan.

“Semoga dengan penjelasan ini, letakkanlah noktah kepada polemik ini. Saya tahu, perkara-perkara ini menjadi modal yang terus dimainkan tambahan pula pemilihan parti semakin hampir,” katanya. 

Sementara itu, Encik Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani gabungan parti dalam kerajaan akan menjadi pedoman untuk mengikat semua.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata bagi menjamin kelangsungan Kerajaan Perpaduan, sekretariat bersama parti-parti dalam kerajaan telah dipersetujui untuk beroperasi yang akan membincangkan dari semasa ke semasa mengenai perjalanan kerajaan termasuk kerjasama politik.

Encik Ahmad Zahid menambah kerajaan juga bersetuju menubuhkan sekretariat bagi mengkaji semua manifesto parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sehubungan itu, melalui sekretariat ini di peringkat kerajaan, kita mencari titik persefahaman dan kebersamaan bagi menterjemahkan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat.

“Paling ketara, semua parti menyentuh tentang soal kos sara hidup yang pada dasarnya boleh dilaksanakan. Ia merupakan manifestasi bersama kesemua parti dalam Kerajaan Perpaduan. Kita berharap, usaha penterjemahan manifestasi kesemua agenda pembelaan rakyat akan dapat dilaksanakan dengan segera,” ujarnya.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan