Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BN Terengganu lancar manifesto, tumpu perkasa golongan belia

Anggaran Waktu Membaca:
BN Terengganu lancar manifesto, tumpu perkasa golongan belia

Pengerusi BN Terengganu, Ahmad Said. (Gambar: Bernama)

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) Terengganu pada Selasa (25 Jul) melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan lima teras utama termasuk menumpukan kepada pembangunan dan pemerkasaan golongan belia serta remaja di negeri itu.

Pengerusi BN Terengganu, Ahmad Said, berkata lima teras tersebut ialah kebajikan dan sosial, pendidikan dan agama, infrastruktur; ekonomi serta orang muda dan belia.

"Perkara yang ingin saya beri tumpuan (dalam manifesto) ialah mengenai mahasiswa dan anak-anak muda kerana pendidikan kepada rakyat menjadi aset utama bagi BN Terengganu, manakala golongan belia menjadi aset penting bagi negeri ini.

"Antara yang ditawarkan dalam manifesto ini ialah skim latihan kepada lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan elaun sebanyak RM1,500 (S$436) sebulan bagi pemegang ijazah dan RM1,200 (S$349) sebulan bagi diploma dalam tempoh setahun. Mereka akan ditempatkan di mana-mana jabatan kerajaan, swasta atau milik syarikat kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas melancarkan manisfesto BN negeri dengan tema 'Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran' di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, pada Selasa.

Encik Ahmad, yang juga Pengerusi UMNO Terengganu, berkata antara insentif lain yang ditawarkan BN negeri ialah bantuan bayaran pendaftaran siswa IPT iaitu RM1,500 (S$436) bagi peringkat ijazah; RM1,000 (S$291) (diploma) dan RM750 (S$218) (sijil).

Dalam memperkasakan golongan belia pula, beliau berkata sebuah Yayasan Kebajikan Anak Muda Terengganu akan diwujudkan, selain menyediakan dana tahunan sebanyak RM5,000 (S$1,454) untuk persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) belia.

"Kita juga akan memberikan (jika BN menang) bantuan lesen memandu dan perniagaan, didikan kenegaraan, membina dan memperbanyakkan kemudahan sukan dan sukan elektronik (e-sukan) serta mewujudkan program keusahawanan dan kerjaya muda dan gig ekonomi," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga berhasrat untuk membimbing anak-anak muda yang berpotensi untuk menjadikan sukan sebagai kerjaya kerana ia mampu menawarkan peluang pendapatan yang lumayan pada masa kini.

Antara manifesto BN Terengganu yang lain ialah dana pencen RM800 (S$233) untuk individu berumur 60 tahun ke atas yang layak, menyediakan tabung khas usahawanita sebanyak RM5 juta (S$1.5 juta) dan bantuan modal usahawan baharu kepada anak Terengganu.

Selain itu, katanya elaun bulanan imam, bilal, guru al-Quran dan juru nikah juga akan dinaikkan di samping bantuan ‘one-off’ akan turut diberikan kepada nelayan, petani, penternak, pemandu bot pelancong, pemandu bot penambang, pemandu e-hailing, teksi, kereta sewa dan beca serta penghantar makanan.

"Dari segi infrastruktur, kita akan menyambung Lebuhraya Pantai Timur bagi fasa ketiga, membina jalan empat lorong dari Kemaman ke Kuala Terengganu dan dari Kuala Terengganu ke Besut, membina 10,000 rumah mampu milik dalam lima tahun dan menaik taraf kemudahan infrastruktur di semua jeti pelancongan," kata Encik Ahmad.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan golongan pengundi muda agar berfikir secara rasional dan ingat bahawa tanggungjawab mengundi sangat penting dalam menentukan masa depan negeri dan negara.

"Sebolehnya biarlah kerajaan negeri sealiran dengan kerajaan pusat kerana lebih mudah untuk kita melaksanakan segala penambahbaikan dan pembangunan di negeri ini," katanya.

PRN di enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah akan diadakan pada 12 Ogos ini.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan