Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BN Sabah dipinggirkan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, kata Bung Moktar

Anggaran Waktu Membaca:
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah berasa tersisih atau dipinggirkan dalam pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan apabila tiada seorangpun daripada tujuh Ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri penuh.

Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, menyifatkan dua menteri mewakili Sabah, masing-masing dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selaku komponen Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah terlalu kecil, lapor BH Online.

Katanya, jumlah itu tidak seimbang berbanding negeri jiran, Sarawak yang mendapat lima portfolio termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kedua.

"Pembentukan Kabinet baru Kerajaan Perpaduan persekutuan ini nampaknya menyaksikan Sabah dipinggirkan dalam pelantikan portfolio, khususnya wakil daripada BN Sabah yang memberikan komiten awal bersama BN Pusat untuk menyokong PH menjadi kerajaan dan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.

"Tiada seorangpun wakil dari BN Sabah dalam Kabinet baru ini. Berbanding Sarawak, mereka ada lima menteri," katanya dalam kenyataan media berhubung pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim.

BN Sabah memenangi paling banyak kerusi Parlimen di Sabah dengan tujuh kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Malaysia, diikuti GRS (enam), PH (lima), WARISAN (tiga), Bebas (dua) serta masing-masing satu Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Malah, BN Sabah turut menyumbang kerusi kedua terbanyak selepas BN Johor daripada 30 kerusi dimenangi BN di seluruh negara pada PRU15.

Encik Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berharap peminggiran BN Sabah dalam Kabinet baru itu bukan petanda peminggiran negeri ini daripada perhatian Kerajaan Perpaduan persekutuan, khususnya dalam aspek pembangunan, lapor BH Online.

"Kita tidak mahu Sabah sekali lagi dipinggirkan dalam aspek pembangunan terutama pelaksanaan projek infrastruktur yang penting untuk kemudahan rakyat negeri ini.

"Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah umpamanya mesti diteruskan dan dipercepatkan. Kita tidak mahu melihat projek ini sekali lagi tergendala seperti yang berlaku ketika PH menjadi kerajaan pada 2018," katanya.

Katanya, Sabah juga memerlukan perhatian kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih yang menjejaskan rakyat di seluruh negeri ini, selain bekalan elektrik dan jalan luar bandar yang masih belum menyeluruh, seperti dinukil daripada BH Online.

Perdana Menteri Malaysia pada Jumaat malam (2 Dis) mengumumkan barisan Kabinetnya yang mengandungi 28 menteri termasuk dua TPM yang masing-masing disandang Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili BN dan Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sabah hanya diwakili Ahli Parlimen Penampang, Ewon Benedick (PH-UPKO) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali (GRS) yang memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan